Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia perlu tempoh setahun untuk capai imuniti kelompok guna vaksin COVID-19, kata saintis

Malaysia dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus COVID-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia perlu tempoh setahun untuk capai imuniti kelompok guna vaksin COVID-19, kata saintis

(Gambar: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 08 Feb 2021 05:43PM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 05:51PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi penyakit bawaan virus COVID-19 melalui Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang menjadi program vaksinasi terbesar di negara itu.

Saintis Ts. Dr Ummirul Mukmimin Kahar daripada Institut Genom Malaysia, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) berkata untuk mencapai imuniti kelompok, 80 peratus rakyat perlu disuntik dengan vaksin COVID-19.

Malaysia dijangka menerima vaksin COVID-19 daripada Pfizer-BioNTech pada penghujung Februari dengan petugas barisan hadapan menjadi penerima awal vaksin itu.

"Selepas itu, Pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19 akan bermula menjadikan ia satu program vaksinasi terbesar di Malaysia. Pemberian vaksin akan dilaksanakan menerusi tiga fasa dan akan berjalan hingga Februari 2022," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas melalui aplikasi Zoom pada Isnin (8 Feb).

Ts. Dr Ummirul Mukminin berkata suntikan vaksin boleh diambil di 600 pusat pemberian vaksin yang akan dibuka di seluruh negara di bawah seliaan pihak Kementerian Kesihatan (KKM), hospital, dan universiti.

Selain Pfizer-BioNTECH, setakat ini terdapat beberapa jenis vaksin COVID-19 yang telah dikenal pasti oleh KKM menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu vaksin keluaran Astra Zeneca-Oxford, Sinovac Biotech, dan Gamaleya Research Institute.

Dalam pada itu beliau berkata adalah amat penting untuk negara mencapai imuniti kelompok kerana ia bukan hanya melindungi diri mereka yang divaksin, tetapi juga orang di sekitar mereka.

"Imuniti kelompok bermaksud jangkitan bawaan virus sebenar tidak akan dapat menjangkiti suatu kelompok masyarakat memandangkan sebahagian besar anggota masyarakat itu mempunyai kekuatan (memori pertahanan) untuk melawan virus sebenar.

"Hal ini adalah penting bagi melindungi golongan yang berisiko (golongan yang mudah dijangkiti penyakit) seperti kanak-kanak, orang tua, dan penghidap penyakit kronik (barah atau HIV)," katanya.

Ia juga bertepatan dengan aspirasi Pelan Imunisasi Kebangsaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) iaitu Lindung Diri, Lindung Semua yang mana proses vaksinasi di Malaysia bermatlamat memberi manfaat kepada semua rakyat.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan