M'sia mungkin henti atau hadkan eksport telur bagi kekalkan bekalan pasaran tempatan
Malaysia sedang menimbang untuk menghadkan atau menghentikan eksport telur demi memastikan bekalan yang mencukupi bagi pasaran tempatan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail, pada Isnin (10 Dis).
PUTRAJAYA: Malaysia sedang menimbang untuk menghadkan atau menghentikan eksport telur demi memastikan bekalan yang mencukupi bagi pasaran tempatan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail, pada Isnin (10 Dis).
Semasa bercakap di satu sidang media yang diadakan menyusuli mesyuarat bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Malaysia, Encik Saifuddin berkata kementerian itu juga akan menyiasat sama ada terdapat elemen-elemen kegiatan kartel yang menyebabkan harga telur meningkat secara konsisten pada setiap minggu sejak beberapa bulan lalu.
Tindakan boleh diambil terhadap kegiatan kartel seperti penetapan harga secara pakatan, pembahagian kawasan persaingan dan menghadkan pengeluaran bersama-sama antara pengeluar dan pemborong telur, tambah beliau.
Encik Saifuddin menerangkan bahawa kementeriannya sudah menerima jumlah besar aduan daripada para pengguna, termasuk mereka yang tinggal di Pulau Pinang, Sarawak dan Putrajaya mengenai kenaikan harga telur, terutamanya pada pertengahan November.
"Pada minggu pertama November, harga telur gred A di Putrajaya naik daripada RM3.98 (S$1.31) (10 biji) kepada RM5.11 (S$1.68). Minggu ketiga turun pula kepada RM4.04 (S$1.33). Lepas naik mendadak, boleh pula turun. Harganya selepas itu kekal kira-kira RM4 (S$1.31)," katanya.
Encik Saifuddin berkata antara alasan yang diberikan pihak pengeluar dan pemborong termasuk keadaan cuaca, perbezaan nilai Ringgit, kos makanan ayam mahal dan peningkatan kos utiliti penternak ayam.
Beliau menambah kementeriannya sudah menjalankan pemeriksaan di peringkat pengeluaran, pengedaran dan pemborong di seluruh negara itu sejak Jumaat lalu (7 Dis) bagi mengesan punca kenaikan harga.
"Jika para peniaga didapati sengaja menaikkan harga telur bagi tujuan mengambil keuntungan yang tidak munasabah, pihak kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.
Beliau berkata kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan tindakan berkesan diambil bagi menangani kenaikan harga tersebut, termasuk faktor cuaca dan penyakit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.