Skip to main content

Dunia

M'sia mahu wujudkan perjanjian dengan Vietnam, atasi pencerobohan nelayan

Malaysia berhasrat mewujudkan perjanjian dengan pemerintah Vietnam bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan dari negara itu di perairan negara, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia mahu wujudkan perjanjian dengan Vietnam, atasi pencerobohan nelayan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Feb 2020 06:25PM Dikemas Kini : 16 Feb 2020 06:27PM

KUANTAN: Malaysia berhasrat mewujudkan perjanjian dengan pemerintah Vietnam bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan dari negara itu di perairan negara, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata perjanjian seumpama itu sudah wujud antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia dan ia boleh dilaksanakan dengan Vietnam berikutan surat hasrat yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan pemerintah Vietnam pada Ogos lalu sebagai persetujuan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita pandang serius kerana akhir-akhir ini semacam ada penambahan jumlah bot nelayan asing dan apabila ada nelayan asing yang ceroboh perairan Pantai Timur negara, majoritinya adalah dari Vietnam.

“Pada tahun lalu sahaja kita telah tahan 141 nelayan Vietnam yang menceroboh, termasuk di dalam Zon Ekonomi Eksklusif.

“Reaksi pemerintah Vietnam positif dan mereka sedar mengenai isu ini. Mereka juga menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama,” kata Encik Saifuddin.

Beliau, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berharap isu pencerobohan nelayan asing di Malaysia tidak akan berlarutan sehingga aset ketenteraan perlu dikerahkan bagi menanganinya.

“Memang ada kes di mana apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar mereka, mereka keluar dari kawasan perairan negara. Kalau boleh janganlah sehingga jadi seperti itu (melibatkan aset ketenteraan),” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Hubei dan Wuhan, China, ekoran penularan wabak virus COVID-19, beliau berkata usaha sedang digerakkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya tidak pasti bila mereka akan dibawa pulang tetapi NADMA sedang berusaha untuk membawa kira-kira 30 rakyat Malaysia yang masih berada di sana,” katanya.

Beliau menambah lapan pejabat kedutaan dan konsulat di China termasuk Beijing, Hong Kong dan Taiwan akan terus beroperasi seperti biasa bagi membantu menguruskan rakyat Malaysia di sana dengan hanya kakitangan tertentu bersama pasangan serta tanggungan mereka akan dibawa pulang, seperti yang diumumkan pada 5 Februari lalu.

Mengulas mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Laos pada 20 Februari ini, Saifuddin berkata ia adalah khusus bagi negara peserta membincangkan usaha menangani COVID-19.

“Tujuan mesyuarat itu adalah untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dan China dalam menangani jangkitan ini. Kita dalam ASEAN, kita memang ada keyakinan bahawa China boleh dan mampu atasi jangkitan ini.

“Mesyuarat itu juga adalah untuk kita bertukar-tukar nota pengalaman (menangani wabak ini) dan mendengar taklimat terbaru daripada Menteri Luar China,” ujar beliau lanjut.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita