Skip to main content

Dunia

M'sia lancar Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023

Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah satu kenyataan yang tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lepas "telah dan sedang kita kejar" dan "akan kita hukum", manakala perasuah sekarang dan masa hadapan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia lancar Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar fail: Lillian Suwanrumpha/AFP)

Diterbitkan : 29 Jan 2019 12:58PM Dikemas Kini : 29 Jan 2019 01:04PM

PUTRAJAYA: Pelan AntiRasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah satu kenyataan yang tegas dari kerajaan sekarang, iaitu pesalah yang lepas "telah dan sedang kita kejar" dan "akan kita hukum", manakala perasuah sekarang dan masa hadapan akan berdepan dengan tindakan yang lebih tegas. Ini menurut Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pelan itu adalah satu bukti bahawa tindakan yang diambil terhadap perasuah-perasuah yang sebelum ini bukanlah satu tindakan berlandaskan dendam atau benci.

"Ianya satu tindakan yang diambil kerana kerosakan yang mereka lakukan kepada negara amat besar dan tidak boleh dibiarkan supaya sesiapa yang merancang untuk melakukan rasuah seperti mereka tidak akan dibiarkan terlepas dan hukumannya adalah lebih berat dan tegas," katanya ketika melancarkan NACP 2019-2023 itu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Dr Ismail Abu Bakar, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Abu Kassim Mohamed, pegawai kanan kerajaan, wakil parti politik dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

NACP 2019-2023 dilaksanakan berdasarkan 22 strategi yang akan diberi keutamaan bagi enam sektor utama. Ia mengandungi 115 inisiatif antirasuah melibatkan sektor iaitu politik; perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; pentadbiran sektor awam; perundangan dan kehakiman; serta tadbir urus korporat.

Pelan yang dibangunkan GIACC dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan menetapkan sasaran yang praktikal berdasarkan inisiatif yang akan diambil oleh setiap agensi kerajaan dan swasta dalam menangani masalah rasuah, integriti dan tadbir urus untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dr Mahathir berkata pelan anti rasuah nasional itu hadir sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin sekarang dan masa hadapan bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah dan ia satu amalan keji dan menjijikkan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita