Skip to main content

Dunia

M'sia komited dalam projek RTS S'pura-JB, pembatalan HSR tertakluk kepada perundingan

Malaysia tetap komited kepada Projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) meskipun ia memutuskan untuk membatalkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini (30 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 May 2018 05:10PM Dikemas Kini : 31 May 2018 12:52AM

KUALA LUMPUR: Malaysia tetap komited kepada Projek Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS) meskipun ia memutuskan untuk membatalkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini (30 Mei).

Dalam satu wawancara bersama Mediacorp, Encik Loke berkata bahawa projek RTS akan diteruskan tetapi kerajaan akan mengkaji bagaimana ia boleh mengurangkan kos projek sedang negara itu dibelenggu dengan masalah hutang.

"Projek RTS akan diteruskan. Sudah pasti, kami perlu mengkaji semula projek ini daripada segi kewangan dan sebagainya.

"Saya difahamkan bahawa kos projek ini adalah RM4 bilion (S$1.34 bilion) bagi kerajaan Malaysia. Sudah pasti kami sedang meninjau cara-cara untuk mengurangkan kos... kami baru sahaja membuat keputusan itu, kami perlu mengajukan perundingan dan perbincangan dengan rakan sejawatan kami di Singapura," kata Encik Loke.

Berkaitan projek HSR KL-Singapura, Encik Loke berkata bahawa kosnya melampaui manfaat yang boleh diraih buat masa ini. Namun, Malaysia mungkin akan mempertimbangkannya sekali lagi jika negaranya berjaya mengatasi masalah hutang.

"Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri pagi tadi, pembatalan HSR tergantung kepada perundingan dan perbincangan dengan pemerintah Singapura. Sudah pasti, alasan kami membatalkan projek ini adalah kemampuan kami. Keutamaan kerajaan adalah untuk melunaskan hutang-hutang kami dan keupayaan kami untuk melakukan itu. Itu keutamaan kami, oleh sebab itu beberapa projek perlu dibatalkan.

"Namun sudah pasti, ini semua boleh disemak semula. Maksud saya, jika kami berada dalam kedudukan lebih baik nanti. Buat masa ini, keputusan sudah dimuktamadkan bahawa projek ini akan dibatalkan. Namun, banyak lagi perbincangan dan perundingan perlu dijalankan dengan pemerintah Singapura," tambah beliau.

Ketika ditanya jika Malaysia benar-benar percaya jika ia akan meraih manfaat daripada projek tersebut, Encik Loke berkata: "Saya rasa soalan seperti ini bersifat polemik. Sudah pasti terdapat banyak interpretasi dan pendapat yang berbeza dan sebagainya, Dan jelas, bagi sebarang projek seperti ini, anda tidak boleh katakan bahawa tidak ada keuntungan sama sekali. Tetapi persoalannya adalah tentang kemampuan kami dan keutamaan kerajaan baru."

"Keutamaan kerajaan baru adalah untuk menangani masalah-masalah yang timbul akibat (tindakan) kerajaan sebelumnya. Dan keutamaan nombor satu adalah memastikan kewangan kami kembali stabil, mampu membayar kembali hutang-hutang. Kami tidak mahu lagi menambah hutang dan tekanan kerajaan," katanya lagi.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita