Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia kenal pasti 2 kelompok baru COVID-19 libatkan acara perhimpunan besar-besaran

Dua kelompok COVID-19 yang berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan mendadak kes positif virus korona itu kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia kenal pasti 2 kelompok baru COVID-19 libatkan acara perhimpunan besar-besaran

(Gambar: Lim Huey Teng)

Diterbitkan : 06 Apr 2020 08:13PM Dikemas Kini : 06 Apr 2020 08:15PM

PUTRAJAYA: Dua kelompok COVID-19 yang berkait rapat dengan perhimpunan besar-besaran dikenal pasti antara penyumbang kepada peningkatan mendadak kes positif virus korona itu kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati dua kelompok terbabit melibatkan persidangan keagamaan di Kuching, Sarawak dan majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata, program keagamaan itu berlangsung di sebuah gereja selama tiga hari.

“Setakat ini, seramai 83 orang telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini iaitu dengan dua kematian (kes ke-358 dan kes ke-2,471), lima kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU)  dan 50 kes sedang dirawat di hospital.

“Sementara itu, 25 kes bawah pemerhatian di pusat kuarantin serta satu kes discaj yang telah pulih sepenuhnya,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata bagi kelompok majlis perkahwinan pula, ia merupakan satu kelompok jangkitan COVID-19 yang kemudiannya membentuk jangkitan sehingga generasi kelima.

“Sehingga 6 April 2020, 88 kes telah disahkan positif COVID-19 daripada kluster ini, termasuk satu kes dirawat di Unit Rawatan Intensif (ICU). Namun tiada kes kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster ini,” tambahnya.

Beliau berkata, kedua-dua kelompok ini melibatkan jangkitan COVID-19 sehingga generasi kelima.

Sebagai rekod, dua kelompok itu antara kelomok terbesar berkaitan perhimpunan besar-besaran, selepas kelompok perhimpunan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

Susulan pendedahan dua kelompok itu, Dr Noor Hisham menyeru masyarakat supaya tidak menyalahkan atau mendiskriminasi pesakit mahupun kumpulan yang dikaitkan dengan kelompok jangkitan COVID-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” ujarnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan