Skip to main content

Dunia

M'sia jual Equanimity kepada Genting pada harga AS$126 juta

Kapal mewah Equanimity akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd atau syarikat tujuan khasnya (SPV) pada harga AS$126 juta (S$170 juta).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Apr 2019 02:06PM Dikemas Kini : 03 Apr 2019 11:12PM

KUALA LUMPUR: Kapal mewah Equanimity akan dijual kepada Genting Malaysia Bhd atau syarikat tujuan khasnya (SPV) pada harga AS$126 juta (S$170 juta).

Peguam Negara Tommy Thomas berkata perkara itu sudah mendapat kelulusan Mahkamah Admiralti Kuala Lumpur hari ini (3 Apr) bagi menerima tawaran untuk membeli Equanimity daripada Genting atas terma-terma dan syarat-syarat Syerif.

Menurutnya, harga penjualan AS$126 juta (S$170 juta) itu akan dibayar oleh Genting dan akan diterima Mahkamah pada hujung bulan ini.

“Ini bakal menjadi jumlah pemulihan daripada skandal 1MDB yang tertinggi setakat ini untuk Kerajaan Malaysia dalam jangka masa lapan bulan dari tarikh tindakan ini dimulakan. Jumlah AS$126 juta ini adalah tawaran terbaik yang diterima dalam tempoh lima bulan, sejak Okt 2018 apabila penjualan Equanimity mula diumumkan.

“Banyak tawaran yang diterima dalam tempoh ini, dan hanya sebilangan kecil sahaja yang melebihi AS$100 juta (S$135 juta). Bagaimanapun, Genting menawarkan harga tertinggi, yang pada hari ini diluluskan oleh Mahkamah untuk diterima,” kata Encik Tommy.

Pada 19 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kapal mewah Equanimity sebagai milik kerajaan Malaysia dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pemilik berdaftar gagal hadir untuk menuntut kapal itu.

Kapal mewah itu yang asalnya dimiliki ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho atau Jho Low dirampas di Bali, Indonesia tahun lalu sebelum pemerintah negara itu menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.

Dalam pada itu, Encik Tommy menjelaskan, oleh kerana tawaran daripada Genting dirunding secara langsung, tiada komisyen ejen yang perlu dibayar sekaligus membawa penjimatan sebanyak AS$4.4 juta (S$5.96 juta).

Beliau berkata meskipun nilai harga pasaran kapal itu oleh Winterbotham sebanyak AS$130 juta (S$175 juta) tidak dicapai, namun pulangan bersih kepada kerajaan Malaysia adalah yang sebaiknya kalaupun tidak lebih baik daripada yang dijangkakan. 

Sumber : Bernama/AQ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita