Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia jangka buka semula pulau peranginan utama awal September

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia menjangkakan pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian boleh mencapai imuniti kelompok hujung bulan ini dan dibuka semula awal bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia jangka buka semula pulau peranginan utama awal September

Gambar fail pantai di Pulau Langkawi (Gambar: Prisca Wong/Mediacorp)

Diterbitkan : 14 Aug 2021 09:48PM Dikemas Kini : 14 Aug 2021 09:53PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Malaysia menjangkakan pulau peranginan utama negara seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian boleh mencapai imuniti kelompok hujung bulan ini dan dibuka semula awal bulan depan.

Menteri berkenaan Nancy Shukri dalam kenyataan hari ini (14 Ogos), bagaimanapun berkata perkara itu tertakluk kepada keputusan kerajaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) semasa yang akan ditentukan.

“Cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksana dengan teliti dan berhati-hati bagi mengelak berlakunya penularan pandemik COVID-19 dan menyebabkan penutupan semula dibuat. Pada masa sama, MOTAC sedang mengemas kini dan menyiapkan SOP berkaitan sector pelancongan,” katanya.

Menurut Cik Nancy, beliau hari ini mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri pelancongan supaya golongan berkenaan bersiap sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutama melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara dalam masa terdekat.

Sesi itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri agar persediaan rapi dapat dilakukan sebelum pembukaan sektor pelancongan dilaksanakan, katanya.

Beliau berkata sesi libat urus itu selaras dengan pengumuman khas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengenai kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksin lengkap dengan membenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan hotel dan inap desa.

Cik Nancy berharap semua pihak yang terlibat dapat bergerak dalam satu arah bagi memastikan setiap perancangan serta strategi direncanakan berjalan lancar.

Antara persatuan terlibat dalam sesi libat urus itu ialah Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia serta Persatuan Spa Malaysia. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan