Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia dijangka sambut pelancong antarabangsa awal Dis

Malaysia menjangkakan sektor pelancongan di seluruh negara boleh dibuka kepada pelancong antarabangsa seawal Disember ini.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia dijangka sambut pelancong antarabangsa awal Dis

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri di Pulau Langkawi. (Gambar: Facebook/ Hajah Nancy Haji Shukri)

Diterbitkan : 27 Oct 2021 05:58PM Dikemas Kini : 27 Oct 2021 06:00PM

KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan sektor pelancongan di seluruh negara boleh dibuka kepada pelancong antarabangsa seawal Disember ini.

Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, ketika ini kementerian itu akan memantau terlebih dahulu Projek Rintis Pulau Langkawi yang akan bermula 15 Nov ini.

"Namun begitu, memang kita sudah bersiap sedia dari segi prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun, kita meletakkan tempoh tiga bulan, saya rasa tidaklah sampai tiga bulan. Jadi, saya rasa kita boleh buka (untuk pelancong antarabangsa) lebih awal dari itu.

"Jadi, kita doakan agar ia boleh berlaku dalam masa terdekat lagi selepas 16 Nov ini, dan mungkin awal Disember. Itu bukan janji saya, tetapi kita cuba," katanya di Dewan Rakyat hari ini (27 Okt).

Astro Awani melaporkan beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tambahan Encik Karupaiya Mutusami (PH-Padang Serai) yang mahu tahu garis masa pembukaan sektor pelancongan di seluruh negara kepada pelancong asing.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 Nov dengan pematuhan SOP.

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu antaranya pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.

Sebelum itu, Encik Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) meminta menteri menyatakan perancangan memperkenalkan gelembung perjalanan ke Sarawak, sebagaimana yang telah dimulakan di Langkawi.

Menjawab pertanyaan tersebut, Cik Nancy berkata kementeriannya kini dalam fasa akhir melaksanakan persediaan untuk menyambut kembali ketibaan pelancong asing, lapor Astro Awani.

"Projek Rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi ini akan menjadi kayu pengukur kepada pembukaan lebih banyak Gelembung Perjalanan Antarabangsa ke destinasi-destinasi lain yang berpotensi berdasarkan penilaian sewajarnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan."

Pada masa yang sama, sejak projek rintis Langkawi dilaksanakan, Cik Nancy berkata, lebih 100,000 pelawat dari seluruh negara telah mengunjungi pulau legenda itu bagi tempoh 16 Sept hingga 15 Okt lalu.

Jelas beliau, kegiatan pelancongan yang kembali aktif memberi impak positif bukan sahaja kepada entiti perniagaan pelancongan semata-mata.

Malah, Astro Awani melaporkan, menurut beliau, limpahan ekonomi hasil daripada aktiviti tersebut serta sektor rantaian, turut membawa perkembangan yang baik kepada masyarakat setempat.

"Dalam menjayakan inisiatif projek rintis ini, SOP Gelembung Pelancongan Langkawi telah dibangunkan agar kita dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelancong dan juga penduduk tempatan Langkawi," tambah beliau.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan