Skip to main content

Dunia

M'sia di tangga ke-23 daripada 60 bagi perlindungan kanak-kanak mangsa seksual

Dari kalangan 60 negara, Malaysia menduduki tangga ke-23 dalam Out of The Shadow Index yang meneliti bagaimana negara menangani ancaman keganasan seksual terhadap kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia di tangga ke-23 daripada 60 bagi perlindungan kanak-kanak mangsa seksual

(Gambar hiasan: Merdeka.com)

Diterbitkan : 04 Oct 2019 08:42AM Dikemas Kini : 04 Oct 2019 08:46AM

KUALA LUMPUR: Dari kalangan 60 negara, Malaysia menduduki tangga ke-23 dalam Out of The Shadow Index yang meneliti bagaimana negara menangani ancaman keganasan seksual terhadap kanak-kanak.

Laporan yang dijalankan oleh Unit Perisikan Economist (EIU) menunjukkan, di Asia Tenggara, Malaysia dengan jumlah 54.5 mata mendahului Kemboja dan Indonesia, dengan masing-masing 53.7 dan 47.6 mata tetapi berada di belakang Filipina (56.7).

Laporan edisi pertama menilai empat kategori yang berbeza termasuk persekitaran, yang menyaksikan Malaysia mencatatkan 64 daripada 100, kerangka undang-undang (68), komitmen dan keupayaan kerajaan (39) dan keterlibatan industri, masyarakat madani dan media (55).

Dr Mark Kavenagh, Ketua Penyelidikan dan Dasar untuk ECPAT International, berkata Malaysia dianggap mempunyai persekitaran yang agak stabil dan selamat untuk kanak-kanak tetapi ada faktor-faktor khusus dan kontekstual yang memburukkan lagi keadaan untuk kanak-kanak terdedah kepada eksploitasi seksual.

"Ini termasuk norma-norma dan nilai-nilai sosial, dan tradisi memalukan dan membisu mengenai topik seks yang boleh menghalang pendidikan seksual yang berkualiti dan praktikal dan membenarkan penderaan seksual tidak dilaporkan," katanya pada majlis pelancaran laporan yang dianjurkan bersama oleh ECPAT dan End CSEC Network Malaysia, hari ini.

Walaupun sebagai negara Islam sederhana, Encik Kavenagh berkata Malaysia sudah mengambil beberapa pendekatan konservatif yang memberi kesan kepada kemajuan dalam menghalang dan memberi respons kepada penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak, sesetengahnya menyumbang kepada amalan perkahwinan kanak-kanak yang berterusan.

Oleh itu, beliau berkata negara perlu meningkatkan latihan kesedarannya, serta menaik taraf pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif serta sikap berdasarkan jantina terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak.

Laporan itu juga menekankan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi terhadap kesalahan seperti pemerkosaan kanak-kanak, mendapatkan khidmat seksual daripada kanak-kanak, menggunakan kanak-kanak untuk aktiviti seksual, pemerdagangan kanak-kanak, yang menyaksikan negara memperoleh 68 mata.

Bagaimanapun, terdapat kurangnya keyakinan terhadap usaha penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman untuk melaksanakan dan menyediakan perlindungan untuk Malaysia hanya mencatat 39 mata, iaitu penunjuk terendah antara empat kategori.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita