M'sia dedah prototaip kereta terbang pertama tahun ini, kata menteri
Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Encik Redzuan Md Yusof.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof. (Gambar fail: Bernama)
KUALA LUMPUR; Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan Encik Redzuan Md Yusof.
Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.
"Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, hari ini.
Beliau berkata kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.
"Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta (S$331,000)," katanya.
Encik Mohd Redzuan berkata projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.
"Kami menyediakan pemangkin dan ekosistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini," katanya.
Beliau berkata projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.
"Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional, dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.