M'sia bukan negara sihat; kesedaran aspek kesihatan masih rendah, akur Khairy Jamaluddin
Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidap penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
(Gambar fail: AFP)
KUALA LUMPUR: Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidap penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata kesedaran tentang aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih berada di tahap rendah.
“Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak. Kita antara negara kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian COVID-19 di negara ini adalah sebab sebahagian besar daripada pesakit mengalami komorbiditi atau kronik.
“Bayangkan di Malaysia seorang daripada dua rakyat mengalami obesiti, termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. Selain itu, seorang daripada 20 rakyat tidak mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul.
“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” kata beliau semasa menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 hari ini (11 Nov).
Oleh itu, dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Encik Khairy berkata rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku mereka serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat secara sukarela tanpa mengharapkan kementeriannya atau kerajaan semata-mata.
Beliau berkata aspek perubahan tingkah laku penting serta kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri menjadi initipati ANMS.
“Kalau kita nak harapkan Kementerian Kesihatan sahaja untuk pantau prosedur operasi standard (SOP) dan keluarkan kompaun, memang tak cukup tangan. Kita nak negara berjaya dari segi pengurusan pandemik ini,” katanya sambil memberi contoh Jepun berjaya menguruskan pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan ANMS yang merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani serta mengharungi fasa endemik COVID-19.
Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030 dengan pelaksanaan dibahagikan kepada dua penggal iaitu penggal pertama bermula pada 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula pada 2026 dan berakhir pada 2030.
Sementara itu, Encik Khairy berkata satu jawatankuasa ditubuhkan yang menghimpunkan semua kementerian terlibat bagi melaporkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk menzahirkan ANMS di peringkat kementerian.
Beliau berkata selain mengambil kira faktor kesihatan diri rakyat, agenda itu juga meliputi kesihatan mutu pengudaraan melibatkan bangunan baru sebagai usaha mencegah COVID-19 yang boleh dijangkiti melalui udara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.