M'sia bongkar sindiket penyeludupan daging dibungkus semula dengan logo halal: Laporan
Satu serbuan pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini membongkar taktik sebuah kartel yang menyeludup daging sejuk beku luar negara sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran setempat.

(Gambar: Facebook/MAQIS)
JOHOR BAHRU: Satu serbuan pihak berkuasa Malaysia baru-baru ini membongkar taktik sebuah kartel yang menyeludup daging sejuk beku luar negara sebelum membungkus semula daging itu dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran setempat.
Menurut laporan Sinar Harian, serbuan ke atas satu gudang di Senai, Johor Bahru pada Selasa (1 Dis) menyusuli Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Kartel terbabit dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku dan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula itu.
Sebanyak 1,500 tan daging sejuk bernilai RM30 juta (S$9.9 juta) disita dalam serbuan pada Selasa, menurut Ketua Pengarah MAQIS, Saiful Yazan Alwi.
“Buat masa ini kita masih menyiasat lagi bagaimana daging sejuk beku yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina boleh terlepas masuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, stok daging sejuk beku itu diseludup melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas menggunakan dokumen-dokumen palsu termasuk borang kastam, permit import dan sijil halal.
"Bagi mengaburi mata pihak berkuasa pula, sindiket turut mengimport daging daripada sumber yang sah sebelum dibawa ke gudang terbabit di Senai," katanya lagi.
"Daging atau organ dalaman tersebut akan dimasukkan di dalam kotak sebelum ditampal dengan pelekat serta dicap dan dilabel seakan-akan daging terbabit adalah halal.
"Siasatan kita mendapati cap logo berkenaan ditempah dari sebuah premis percetakan di Ulu Tiram dekat sini. Malah, kita juga mengesan pembuatan pelekat yang dihasilkan sendiri di gudang berkenaan," katanya.
Daging yang dilabel 'halal' secara tidak sah itu juga dicampur dengan susunan daging lain yang memiliki sijil halal yang sah, kata Encik Saiful Yazan.
Sinar Harian melaporkan bahawa siasatan awal MAQIS mengesyaki daging itu adalah daripada sumber yang diperoleh dari loji penyembelihan tidak sah dan tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sejak bila kegiatan tersebut mula beroperasi selain mengesan rangkaian sindiket yang lain.
"Kita masih menyiasat lokasi daging terbabit diedar," kata Encik Saiful.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.