Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia bentang belanjawan RM332.1 bilion, tertinggi setakat ini

Kerajaan Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob hari ini ( 29 Okt) membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion (S$107.88 bilion), yang menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia bentang belanjawan RM332.1 bilion, tertinggi setakat ini

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Oct 2021 05:54PM Dikemas Kini : 29 Oct 2021 05:58PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia pimpinan Ismail Sabri Yaakob hari ini ( 29 Okt) membentangkan Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion (S$107.88 bilion), yang menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah belanjawan negara itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata tumpuan belanjawan kali ini ke arah memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara.

Menurutnya daripada jumlah itu, kerajaan bercadang menyediakan RM233.5 bilion (S$75.5 bilion) bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion (S$24.56 bilion) untuk belanja pembangunan dan RM23 bilion (S$7.47 bilion) di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Ketika membentangkan belanjawan berkenaan dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” di Dewan Rakyat, beliau berkata, sejumlah RM2 bilion (S$0.65 bilion) turut disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Tengku Zafrul berkata mengambil kira aspirasi, impian dan keperluan ahli Keluarga Malaysia, disamping jangkaan peningkatan hasil kerajaan bagi tahun hadapan kepada RM234 bilion (S$76.01 bilion), kerajaan akan terus menyediakan belanjawan yang mengembang.

“Sungguhpun ini merupakan bajet mengembang, defisit fiskal 2022 diunjur berkurang kepada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) berbanding 6.5 peratus pada 2021,” katanya.

Ini merupakan belanjawan tahunan pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan yang pertama sejak Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dilancarkan pada 27 September.

Belanjawan 2021 sebelum ini memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM322.5 bilion (S$104.76 bilion).

PERKUKUH PEMULIHAN, BINA DAYA TAHAN, PACU PEMBAHARUAN

Tengku Zafrul berkata Belanjawan 2022 yang dirangka setelah 80 sesi sumbang saran bersama Ahli Parlimen merentasi doktrin politik akan mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Katanya, matlamatnya kekal dengan tiga fokus induk seperti Belanjawan 2021 iaitu rakyat yang sejahtera, perniagaan berdaya tahan dan ekonomi yang makmur dan mampan.

“Belanjawan 2022 yang dijajarkan kepada RMK12 telah diadun sebagai kesinambungan daripada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini juga ditambah baik dan dilengkapi usaha baharu untuk membentuk sebuah bajet yang inklusif, mampan dan seimbang,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan