Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

M'sia beku kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya

Kerajaan Malaysia membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya seluruh negara bagi semua kelas kenderaan bermula tahun 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Dec 2018 06:25PM Dikemas Kini : 28 Dec 2018 08:04AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya seluruh negara bagi semua kelas kenderaan bermula tahun 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata pembekuan menyeluruh itu adalah berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat Malaysia.

“Jemaah Menteri pada 12 Dis bersetuju untuk membekukan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya di seluruh negara yang tolnya layak dinaikkan pada tahun 2019.

“Kerajaan juga menganggarkan pembekuan kadar tol itu akan melibatkan kos bayaran pampasan yang dianggarkan berjumlah RM972.75 juta (S$320.3 juta) kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi tahun depan,” kata Encik Lim.

Lebuhraya terlibat ialah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

“Lebuhraya yang lain adalah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JPP2) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).

“Sebagai contoh, kadar tol 2019 bagi MEX (Plaza Tol Utama Putrajaya) berdasarkan perjanjian konsensi adalah RM4.90 (S$1.60), manakala DUKE ialah RM3.30 (S$1.10) namun kerajaan memutuskan membekukan kenaikan kadar tol itu,” katanya.

Encik Lim menambah, kerajaan juga bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas 5 (bas) dengan anggaran kos RM1.68 juta (S$550,000) di lapan lebuh raya berasingan.

“Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (GRANDSAGA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya Kuala Lumpur-Selangor (LATAR), NPE dan SPRINT.

“Secara keseluruhannya, pembekuan kadar tol (21 lebuh raya dan bas) serta pemansuhan tol motosikal di Jambatan Pertama Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah serta di Lebuhraya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Jan ini akan melibatkan anggaran kos kerajaan sebanyak RM994.43 (S$327) juta bagi 2019,” jelasnya.

Kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan dan pembekuan kadar tol ini adalah sebahagian daripada usaha itu, katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan