M'sia akan kenakan cukai 5-10% terhadap barangan, 6% bagi khidmat
Malaysia akan mengenakan cukai antara 5 dengan 10 peratus ke atas penjualan barangan, manakala perkhidmatan pula akan dikenakan cukai 6 peratus, apabila cukai baru dikuatkuasakan pada Sabtu (1 September).

Gambar fail. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)
KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengenakan cukai antara 5 dengan 10 peratus ke atas penjualan barangan, manakala perkhidmatan pula akan dikenakan cukai 6 peratus, apabila cukai baru dikuatkuasakan pada Sabtu (1 September), menurut Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Subromaniam Tholasy pada Khamis (30 Ogos).
Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula setelah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Dr Mahathir memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), awal bulan ini.
GST yang meliputi pelbagai barangan dan khidmat berbanding SST, diperkenalkan pada 1 April, 2015 dengan kadarnya ditetapkan pada 6 peratus.
Meskipun peratusan yang dikenakan terhadap barangan kelihatan lebih tinggi berbanding di bawah sistem lalu, sebanyak 5,443 barangan dikecualikan, berbanding 544 barangan di bawah GST.
Secara keseluruhannya, SST hanya melibatkan 38 peratus barangan Indeks Harga Pengguna, berbanding 60 peratus di bawah rejim GST.
Antara barangan yang tidak dikenakan cukai adalah barangan makanan seperti beras, minyak masak, roti, produk makanan bayi dan air minuman dalam botol.
Turut dikecualikan adalah surat khabar dan kerusi roda, ubat serta bahan binaan seperti pasir, simen dan batu-bata.
Kedai-kedai makan di Malaysia hanya dikenakan SST sekiranya pendapatan tahunan melebihi RM1.5 juta (S$500,000) setiap tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.