M'sia akan beri subsidi jika harga minyak naik susuli serangan loji Saudi, kata Dr Mahathir
Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco menyusuli serangan oleh pemberontak Yaman, sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu (15 Sep).
Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad. (Gambar: BERNAMA)
PUTRAJAYA: Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco menyusuli serangan oleh pemberontak Yaman, sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu (15 Sep).
Bagaimanapun, beliau berkata di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.
"Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.
"Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (pemerintah) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut," katanya semasa sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019.
Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan Malaysia akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 (S$0.68) jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.
Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA semalam, berkata Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.
Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.
Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.
Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaru dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.
Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.