AS lulus pil anti COVID-19 Pfizer perangi Omicron
Gambar fail. (Gambar: REUTERS/Brendan McDermid)
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS), pada Rabu meluluskan penggunaan pil anti COVID-19 keluaran Pfizer bagi golongan berisiko tinggi dan berusia 12 tahun ke atas, susulan lonjakan kes jangkitan varian Omicron.
Dua jenis pil dikenali sebagai Paxlovid diluluskan penggunaan semasa kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) selepas ujian klinikal menunjukkan ia berupaya mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan individu berisiko sebanyak 88 peratus.
"Tindakan hari ini (Rabu) adalah bukti di sebalik kekuasaan sains dan hasil inovasi serta kemampuan sebenar Amerika," kata Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan, sambil berjanji untuk menggunakan peruntukan undang-undang bagi membantu meningkatkan pengeluaran Pfizer secepat mungkin.
AS setakat ini membelanjakan AS$5.3 bilion (S$7.2 bilion) bagi untuk mendapatkan 10 juta rawatan lengkap menggunakan pil Paxlovid, dengan penghantaran pertama sebanyak 265,000 bakal diterima pada Januari ini manakala bakinya dijadual sampai menjelang akhir musim panas, kata Penyelaras Rumah Putih, Jeff Zients, kepada wartawan menerusi panggilan telefon.
FDA menegaskan rawatan menerusi pil berkenaan bertindak sebagai pelengkap, dan bukan pengganti vaksin yang sehingga kini kekal sebagai kaedah utama dalam memerangi COVID-19.
Pil yang sedia dijual di farmasi juga lebih mudah diakses berbanding rawatan antibodi sintetik yang perlu dikendalikan di hospital atau pust khas.
Badan kawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu membenarkan negara anggota menggunakan pil keluaran Pfizer sebelum mendapat kelulusan rasmi sebagai langkah kecemasan, dalam usaha membendung gelombang jangkitan varian Omicron.
Kebenaran itu diberikan susulan peningkatan kes di AS, yang berpunca daripada Omicron, iaitu varian paling mudah menjangkiti sehingga kini.
Sekitar 150,000 warga Amerika dijangkiti koronavirus setiap hari dengan 7,800 dimasukkan ke hospital dan 1,200 dalam keadaan tenat, menurut data terbaru Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Jangkitan akibat varian Omicron membentuk 90 peratus daripada semua kes di beberapa wilayah Amerika, kata pengarah CDC Rochelle Walensky kepada wartawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.