Skip to main content

Dunia

'Luluh': Korporal polis lalui detik perit saksi rakan terkorban sebelum tumpaskan penyerang Ulu Tiram

Anggaran Waktu Membaca:
 'Luluh': Korporal polis lalui detik perit saksi rakan terkorban sebelum tumpaskan penyerang Ulu Tiram

Pegawai polis forensik di luar balai polis Ulu Tiram di Johor, Malaysia, di mana dua pegawai polis terbunuh pada 17 Mei 2024. (Gambar Fail: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 09 Apr 2026 08:39PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 08:40PM
KUALA LUMPUR: Seorang korporal polis yang bertugas semasa serangan nekad di balai polis Ulu Tiram, Johor, memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu (8 Apr) bahawa beliau melihat dua rakan sekerjanya terbunuh sebelum beliau melepaskan tembakan yang menumpaskan suspek beberapa saat kemudian.

Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, 25 tahun, memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan pertama pada hari pembukaan perbicaraan lima anggota keluarga penyerang, Radin Luqman Radin Imran, yang turut terbunuh dalam kejadian sebelum subuh pada 17 Mei 2024.

Individu yang dituduh ialah bapa Radin Luqman, Radin Imran Mohd Yasin, 64 tahun; isterinya yang merupakan warga Singapura, Rosna Jantan, 61 tahun; dan tiga anak mereka yang lain - Radin Romyullah, 36 tahun, Mariah, 21 tahun, dan Farhah Sobrina, 25 tahun. Mereka berdepan sembilan pertuduhan berkaitan keganasan, termasuk dakwaan menyebarkan ajaran kumpulan pengganas IS.

Mereka didakwa pada Jun 2024.

Dalam insiden Ulu Tiram tersebut, seorang pegawai polis ditikam sehingga mati oleh seorang lelaki berusia 21 tahun yang kemudian dikenal pasti sebagai Radin Luqman. Dia dilaporkan memasuki balai dengan bersenjatakan parang.

Pergelutan kemudian berlaku di kawasan tempat meletak kereta balai antara penyerang dengan pegawai polis, termasuk saksi, yang mengakibatkan kematian seorang lagi pegawai.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan bahawa penyerang, Radin Luqman, dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI) yang cuba merampas senjata api yang disimpan di balai polis berkenaan.

Encik Khairul berkata rakan sekerjanya Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun, diserang di bahagian muka, mulut dan telinga, manakala rakan setugas Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun, ditembak di kepala. Kedua-duanya maut dalam kejadian itu.

Menceritakan semula kejadian, Encik Khairul memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau dan seorang lagi korporal, Hasif Roslan, sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Ulu Tiram berhampiran balai polis pada kira-kira pukul 2.30 pagi apabila mereka menerima arahan daripada ketua polis balai, Mohd Hisham Ezahar, untuk pulang ke balai berikutan serangan tersebut.

Mereka bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki Toyota Hilux dan setibanya di sana, mendapati persekitaran balai adalah malap dan sunyi.

Seorang lagi pegawai, Encik Aznel, juga berada di balai semasa kejadian.

Encik Khairul, bersama Encik Aznel dan Encik Syafiq (pegawai yang kemudiannya terbunuh), bergerak ke bahagian hadapan balai berhampiran mesin layan diri untuk berlindung.

Encik Aznel kemudian memaklumkan mereka berdua bahawa seorang lelaki muncul dari kawasan berek dan melepaskan tembakan ke arah mereka dalam keadaan cahaya yang malap. Encik Aznel mengarahkan Encik Khairul dan Encik Syafiq bergerak ke bahagian belakang balai untuk menilai keadaan dan mencari penyerang, Radin Luqman, yang didakwa melepaskan tembakan ke arah mereka sekali lagi.

Radin Luqman didakwa melepaskan tembakan ke arah mereka bertiga semasa mereka sedang berlindung. Encik Hasif kemudian bergerak ke arah pintu pagar balai polis untuk menarik perhatian penyerang dan ditembak di bahu kiri dan pinggul.

Encik Syafiq kemudiannya ditembak di kepala dan Radin Luqman didakwa cuba merampas senjatanya, sebuah submesingun Heckler & Koch MP5 yang mampu melepaskan tembakan automatik.

KELUARGA KEKAL PENGAKUAN TIDAK BERSALAH

Lima anggota keluarga Radin Luqman - ibu bapa dan tiga adik-beradiknya - turut hadir di kandang tertuduh semasa perbicaraan mereka. Kesemua mereka mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula kepada mereka.

Bapa Radin Luqman, Radin Imran, berdepan empat pertuduhan, termasuk di bawah Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574), kerana menghasut keganasan dengan mempromosikan ideologi keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan Islamic State (IS).

Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Dia dilaporkan menyebarkan ajaran IS dalam kalangan anggota keluarganya - termasuk penyerang Radin Luqman - antara hujung 2014 hingga 17 Mei 2024.

Dia juga didakwa menyokong keganasan dengan menyimpan empat senapang angin buatan sendiri untuk aktiviti IS, memberi sumpah setia kepada ketua IS Abu Bakr Al-Baghdadi dan memiliki buku yang dikaitkan dengan kumpulan militan tersebut.

Anak lelakinya, Radin Romyullah, didakwa atas dua kesalahan, termasuk bersumpah setia kepada Abu Bakr Al-Baghdadi dan memiliki cakera keras luaran yang mengandungi bahan berkaitan IS dan aktivitinya.

Sementara itu, isteri warga Singapuranya, Rosna Jantan, dan anak-anak lain, Mariah serta Farhah Sobina, masing-masing didakwa atas satu pertuduhan sengaja menyembunyikan maklumat mengenai jenayah berkaitan ideologi keganasan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara April 2017 dengan 17 Mei, dan berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura mengesahkan pada tahun 2024 bahawa Rosna adalah warga negara Singapura.
Sumber : AGENCIES/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita