Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Luluh hati tahanan wanita ketika tatap wajah anak yang terkorban ekoran didera

Anggaran Waktu Membaca:
Luluh hati tahanan wanita ketika tatap wajah anak yang terkorban ekoran didera

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 28 Dec 2022 05:18PM Dikemas Kini : 28 Dec 2022 06:06PM
JOHOR BAHRU: Luluh hati seorang tahanan wanita yang menangis, apabila diberi peluang menatap wajah anak bongsunya buat kali terakhir, sebelum jenazah kanak-kanak lelaki itu yang korban penderaan dikafankan pada Rabu (28 Dis).

Wanita berusia 39 tahun yang masih berada dalam tahanan Penjara Simpang Renggam, Kluang itu, diberi peluang kira-kira lima minit melihat jenazah anaknya selepas selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, seperti dinukil daripada BH Online.

Wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu, dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara.

Difahamkan, ibu kepada 11 anak itu, hanya diberitahu mengenai kejadian malang menimpa anaknya itu sebaik tiba di bilik mayat kerana wardan ingin mengawal emosi ibu terbabit sepanjang dalam perjalanan dari penjara.

Datuk saudara kepada kanak-kanak itu, Ruslan Ahmad, 47 tahun, melahirkan rasa terkilan mengenangkan nasib malang menimpa kanak-kanak itu.

Katanya, beliau tidak menyalahkan ibu kepada cucu saudaranya itu, tetapi terkilan kerana kanak-kanak terbabit tidak diserahkan semula kepadanya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila wanita itu ditahan semula polis pada September lalu, lapor BH Online.

"Saya betul-betul terkilan. Kalau saya tahu perkara ini nak berlaku, memang saya 'simpan' dia, tak mahu serah pada ibunya. Ketika itu, saya diberitahu ibu arwah sudah pulih, sudah dilepaskan (daripada tahanan) dan dia mohon nak jaga anak dia, saya dan JKM berbincang beri dia peluang.

"Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik. Saya juga bertanya khabar hampir setiap hari dan mereka maklumkan arwah sihat dan semuanya 'okay'.

"Tetapi, lama kelamaan saya gagal hubungi ibu arwah dan apabila saya dimaklumkan tentang kejadian menimpa arwah, saya baru dapat tahu yang ibu arwah ditahan semula dan arwah dijaga kakaknya," katanya yang ditemui ketika hadir menuntut jenazah kanak-kanak yang dipanggil Lokman itu di HSI, pada Rabu.

Encik Ruslan yang juga bapa saudara kepada bapa kanak-kanak itu adalah individu yang diberikan hak penjagaan sementara oleh JKM sejak kedua ibu bapa kanak-kanak itu ditahan dan dimasukkan ke dalam penjara akibat kes dadah.

Bapa kanak-kanak yang berusia 40-an itu juga kini berada dalam tahanan Penjara Sungai Udang, Melaka.

Encik Ruslan yang turut menjaga seorang lagi adik-beradik arwah, berkata beliau reda dengan kejadian menimpa cucu saudaranya itu dan akan menyelesaikan amanah dan tanggungjawab diberikan sehingga ke proses pengebumian.

"Saya pernah menjaga arwah selama sebulan ketika dia baru lahir sebelum JKM menjaganya selama tiga tahun. Kemudian saya diberi hak penjagaan lagi selama sebulan sebelum diserahkan kepada ibu arwah.

"Jadi pada saya, biarlah saya yang menguruskan jenazah Lokman kerana saya menyayanginya sejak masih bayi lagi. Saya reda, perkara pun dah berlaku," katanya yang membawa pulang jenazah ke Labis, Segamat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom.

Encik Ruslan turut berharap siasatan polis terhadap insiden yang meragut nyawa cucu saudaranya itu dijalankan seadil-adilnya dan mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan