Skip to main content

Dunia

Lubnan tuduh Israel guna racun rumpai di selatan negaranya

Anggaran Waktu Membaca:
Lubnan tuduh Israel guna racun rumpai di selatan negaranya
Tokoh-tokoh beri amaran kejadian seumpama itu bukan sahaja merosakkan ekosistem tempatan, malah bawa kesan ekonomi lebih luas kepada sektor pertanian Lubnan. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 06 Feb 2026 08:06AM Dikemas Kini : 06 Feb 2026 08:07AM
  • Kerajaan Lubnan menuduh pesawat Israel menyembur racun rumpai glyphosate di kampung selatan, dengan kepekatan jauh melebihi paras selamat.
  • Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar Lubnan serta Presiden Joseph Aoun mengecam tindakan itu sebagai pelanggaran kedaulatan dan ancaman kesihatan serta alam sekitar.
  • Penduduk kampung, pasukan pengaman PBB dan kumpulan alam sekitar melaporkan kesan buruk terhadap pertanian, keselamatan makanan dan ekosistem tempatan, terutama selepas konflik 2023-2024.
  • Kementerian Luar Lubnan bercadang mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan PBB, sementara risiko glyphosate masih diperdebatkan oleh badan antarabangsa.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Lubnan menuduh pesawat Israel menyembur racun rumpai pertanian di beberapa kampung di selatan negara itu pada kepekatan yang disifatkan pihak berkuasa sebagai berbahaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan makanan dan alam sekitar.

Kementerian Pertanian dan Kementerian Alam Sekitar Lubnan berkata ujian makmal mengesahkan bahan berkenaan ialah glyphosate, sejenis racun rumpai untuk memusnahkan tumbuhan, dengan kepekatan dalam beberapa sampel didapati "antara 20 hingga 30 kali ganda melebihi paras yang lazim diterima".

Presiden Joseph Aoun mengecam penyemburan apa yang disifatkannya sebagai “bahan toksik”, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran kedaulatan Lubnan serta jenayah alam sekitar dan kesihatan, menurut laporan Astro Awani.

Tentera Israel memberitahu BBC bahawa ia tidak mempunyai komen berhubung dakwaan itu.

Tujuan sebenar penyemburan racun rumpai tersebut masih belum jelas.

Penduduk di beberapa kampung sempadan melaporkan kejadian berkenaan, yang berlaku lebih setahun selepas gencatan senjata menamatkan perang antara Israel dan Hezbollah.

Awal minggu ini, pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan menyatakan pihaknya dimaklumkan oleh Israel mengenai rancangan penyemburan berhampiran sempadan dan dinasihatkan untuk berlindung, memaksa pembatalan sebahagian operasi.

Ia turut menyatakan ini bukan kali pertama bahan kimia tidak dikenali digugurkan dari udara ke wilayah Lubnan.

Dengan puluhan ribu penduduk masih kehilangan tempat tinggal menyusuli konflik 2023 hingga 2024, cabaran untuk pulang dan membina semula kehidupan kini semakin rumit, kata Ramzi Kaiss dari Human Rights Watch di Lubnan.

“Kawasan ini sangat bergantung kepada pertanian, kebun zaitun, tembakau dan tanaman lain, dan insiden ini menjejaskan keupayaan penduduk untuk kembali, meneruskan mata pencarian dan pulih selepas kemusnahan besar,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.

Pakar memberi amaran kejadian seumpama ini bukan sahaja merosakkan ekosistem tempatan, malah membawa kesan ekonomi lebih luas kepada sektor pertanian Lubnan.

Pada April 2025, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan konflik 2024 menyebabkan kerosakan dan kerugian melebihi AS$700 juta (S$890 juta) kepada sektor pertanian Lubnan, khususnya di selatan negara itu dan Lembah Bekaa.

Kumpulan alam sekitar seperti Green Southerners turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang ke atas pengeluaran pertanian dan kesuburan tanah, memberi amaran ancaman kepada biodiversiti, keselamatan makanan dan mata pencarian tempatan.

Bagaimanapun, tiada konsensus sejagat mengenai risiko glyphosate, menurut laporan Astro Awani.

Agensi Penyelidikan Barah Antarabangsa di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikannya sebagai “mungkin karsinogenik kepada manusia”, manakala badan pengawal selia lain, termasuk Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat dan Penguasa Keselamatan Makanan Eropah, menyatakan ia tidak berkemungkinan menimbulkan risiko barah kepada manusia.

Kementerian Luar Lubnan menyatakan pihaknya bercadang mengemukakan aduan rasmi terhadap Israel kepada Majlis Keselamatan PBB.
Sumber : Reuters/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita