Lubnan terima seorang daripada lima tahanan yang dibebaskan Israel
Orang ramai dan pasukan penyelamat berhimpun di sebuah rumah yang musnah disebabkan serangan udara Israel di Deir al-Zahrani, selatan Lubnan, 15 Ogos 2026. (Gambar: AP/Mohammed Zaatari)
- Israel membebaskan seorang tahanan Lubnan, Malek Ghazi, melalui ICRC, sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan dan rundingan dengan Lubnan.
- Pembebasan ini adalah yang pertama selepas permintaan Beirut pada Ogos, dengan empat lagi tahanan dijangka dibebaskan kemudian.
- Langkah ini berkait dengan usaha mencari dan membawa pulang mayat pemimpin masyarakat Yahudi Lubnan serta sebagai persediaan rundingan lanjut di Rom.
- Konflik antara Israel dan Hezbollah sejak 2023 menyebabkan ribuan korban, namun perjanjian rangka kerja pada Jun bertujuan menamatkan ketegangan dan memastikan penempatan tentera Lubnan di selatan negara itu.
Pengumuman itu dibuat selepas Lubnan menyatakan tenteranya sudah menerima seorang lelaki yang dihantar pulang melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
Ini merupakan pembebasan pertama sejak Beirut menggesa dalam rundingan pada Ogos supaya kumpulan pertama individu yang ditahan sejak bermulanya perang Israel-Hezbollah pada 2024 dibebaskan.
“Keputusan dibuat untuk membebaskan lima orang awam Lubnan yang ditahan di kawasan di bawah kawalan tentera Israel di selatan Lubnan,” menurut pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan.
“Selepas soal siasat mereka selesai, didapati bahawa mereka adalah orang awam yang bukan anggota mana-mana pertubuhan pengganas, tidak terlibat dalam kegiatan pengganasan dan tiada sebab untuk terus menahan mereka di Israel.”
Seorang pegawai Lubnan memberitahu AFP pada Khamis bahawa pembebasan empat lagi orang awam - dua warga Lubnan dan dua warga Syria - ditangguhkan sehingga Jumaat.
Menurut pegawai itu, pembebasan mereka merupakan langkah awal sebelum rundingan Lubnan-Israel diteruskan di Rom. Pegawai tersebut meminta identitinya dirahsiakan.
Pihak berkuasa Lubnan belum mengumumkan secara rasmi jumlah rakyatnya yang ditahan Israel semasa perang itu dan konflik berikutnya pada 2026.
Bagaimanapun, keluarga mereka dan sebuah jawatankuasa yang mengendalikan kes tersebut menyusun senarai lebih 30 orang.
Senarai itu termasuk sekurang-kurangnya seorang warga Syria dan beberapa anggota Hezbollah.
Pejabat Netanyahu menyatakan keputusan untuk membebaskan tahanan Lubnan itu dibuat menysuli “usaha meluas” oleh Israel dan Lubnan untuk mencari serta membawa pulang mayat pemimpin masyarakat Yahudi Lubnan yang diculik dan dibunuh pada 1980-an ketika perang saudara selama 15 tahun di negara itu.
Selepas pusingan terbaru rundingan Lubnan-Israel di Rom bulan lalu, seorang pegawai Lubnan berkata Israel telah memberikan Beirut senarai individu yang mayat mereka mahu dibawa pulang.
Tentera Israel berkata pada Ogos bahawa ia telah menemui semula mayat seorang anggota tenteranya yang terbunuh di timur Lubnan pada 1982.
“OPERASI KEMANUSIAAN”
ICRC, yang menguruskan pemindahan individu yang dibebaskan antara Israel dan Lubnan, berkata satu operasi kemanusiaan sedang dijalankan.
Agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency, melaporkan bahawa tentera Lubnan menerima Malek Ghazi pada awal Khamis.
Menurut laporan itu, Ghazi kemudian dibawa ke ibu pejabat perisikan tentera di bandar Tyre, di selatan Lubnan.
Keluarga Ghazi, yang berasal dari bandar Ain Ata di tenggara Lubnan, berkata pada Oktober tahun lalu bahawa mereka terputus hubungan dengannya selepas dia keluar untuk bersenam.
Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam menyambut baik pembebasan itu dalam satu kenyataan dan mengucapkan terima kasih kepada “pentadbiran Amerika... atas usaha yang dilakukan dalam perkara ini”.
Beliau berjanji akan terus berusaha “sehingga semua tahanan kami dibebaskan” dan “nasib mereka yang hilang diketahui”, selain memastikan Israel berundur dari wilayah Lubnan.
Hezbollah menyerang Israel pada 2023 sebagai tanda sokongan kepada Hamas selepas perang Gaza tercetus.
Serangan itu mencetuskan pertempuran selama lebih setahun yang kemudian meningkat menjadi perang besar-besaran pada 2024.
Dua tahun kemudian, kumpulan itu sekali lagi membawa Lubnan ke dalam perang di Timur Tengah bagi menyokong sekutunya, Iran, selepas melancarkan roket ke arah Israel.
Israel membalas dengan serangan udara dan pencerobohan darat yang menurut Lubnan mengorbankan lebih 4,300 orang.
Konflik itu semakin reda sejak satu memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dengan Iran serta satu perjanjian rangka kerja antara Israel dengan Lubnan dipersetujui pada Jun.
Perjanjian Lubnan-Israel itu menetapkan supaya Hezbollah dilucutkan senjata, tentera Israel berundur secara berperingkat dari selatan Lubnan dan tentera Lubnan ditempatkan di kawasan berkenaan, bermula di beberapa “zon perintis”.
Tarikh bagi pusingan seterusnya rundingan Lubnan-Israel masih belum ditetapkan.
Israel juga masih melakukan serangan di Lubnan dan terus menguasai beberapa bahagian wilayah negara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.