Skip to main content

Dunia

Lubnan gesa Amerika Syarikat desak Israel supaya berundur dari negaranya

Anggaran Waktu Membaca:
Lubnan gesa Amerika Syarikat desak Israel supaya berundur dari negaranya

Presiden Lubnan Joseph Aoun tekankan peri penting mengundurkan pasukan Israel dari wilayah selatan Lubnan sedang perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan. (Gambar: ANTARA/Anadolu/py)

Diterbitkan : 07 Sep 2025 11:21AM

BEIRUT: Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Sabtu (7 Sep) menggesa Amerika Syarikat supaya beri tekanan kepada Israel agar berundur dari wilayah selatan negaranya bagi membolehkan tentera Lubnan ditempatkan di kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Gesaan itu dibuat semasa pertemuan Amir Aoun di Beirut dengan Laksamana Brad Cooper, komander Komando Pangkalan Amerika Syarikat(CENTCOM).

Encik Aoun menyeru supaya tekanan dikenakan terhadap Israel untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada November 2024, menghentikan serangan ke atas Lubnan, berundur dari lima pos yang diduduki di selatan, serta membebaskan tahanan, lapor agensi berita rasmi NNA.

“Serangan Israel yang berterusan di selatan menghalang penempatan tentera Lubnan ke sempadan,” katanya.

Encik Aoun menegaskan bahawa pasukan tentera Lubnan ditempatkan di lebih 85 peratus kawasan selatan Sungai Litani.

“Angkatan tentera terus menghalang sebarang kehadiran bersenjata di kawasan itu dan merampas senjata serta peluru,” tambahnya.

Pada 2006, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menerima pakai Resolusi 1701 untuk menamatkan permusuhan antara Hezbollah dan Israel, yang menggesa gencatan senjata berkekalan serta pewujudan zon penampan.

Encik Aoun menekankan kepentingan sokongan Amerika terhadap tentera Lubnan serta pembekalan peralatan dan jentera yang diperlukan bagi membantu pasukan tentera mengekalkan keselamatan, mencegah penyeludupan dan mengawal sempadan Lubnan-Syria.

Encik Cooper, dalam pada itu, memuji “usaha cemerlang yang dijalankan tentera Lubnan yang ditempatkan di selatan dan di seluruh wilayah Lubnan,” menurut NNA.

Minggu lalu, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara melanjutkan mandat misi pengaman PBB UNIFIL buat kali terakhir sehingga akhir 2026, selepas hampir 50 tahun berada di selatan Lubnan.

Israel melancarkan operasi ketenteraan di Lubnan pada 8 Oktober 2023, yang meningkat menjadi perang berskala penuh menjelang September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang termasuk ketua Hezbollah Hassan Nasrallah, serta mencederakan sekitar 17,000 orang.

Gencatan senjata dicapai pada November, namun tentera Israel terus melancarkan serangan hampir setiap hari di selatan Lubnan dengan alasan menyasarkan aktiviti kumpulan Hezbollah.

Di bawah perjanjian itu, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan pada 26 Jan, tetapi tarikh akhir dilanjutkan hingga 18 Feb selepas Tel Aviv enggan mematuhi perjanjian.

Israel masih mengekalkan kehadiran tentera di lima kubu sempadan.

Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita