Skip to main content

Dunia

Lubnan dan Israel adakan rundingan di Rome sedang pertempuran baharu tercetus di Timur Tengah

Anggaran Waktu Membaca:
 Lubnan dan Israel adakan rundingan di Rome sedang pertempuran baharu tercetus di Timur Tengah

Pemandangan umum menunjukkan rumah-rumah yang musnah di perkampungan sempadan Khiam, Lubnan, pada 13 Julai 2026. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 14 Jul 2026 09:33PM
BEIRUT: Lubnan dan Israel mengadakan rundingan baharu di bawah naungan Amerika Syarikat di Rome pada Selasa (14 Jul), sedang ketegangan di Timur Tengah kembali memuncak melibatkan Washington dan Tehran.

Kedua-dua negara yang secara rasmi masih berperang sejak beberapa dekad lalu mencapai rangka kerja perjanjian pada 26 Jun menyusuli lima pusingan rundingan di Washington.

Perjanjian itu bertujuan menamatkan konflik antara Israel dengan Hezbollah yang disokong Iran, serta membuka laluan ke arah keamanan.

Namun, Hezbollah menolak perjanjian tersebut yang menuntut pelucutan senjata kumpulan itu.

Pelaksanaannya dijangka bermula dengan pengunduran tentera Israel dari dua 'zon perintis' di selatan Lubnan.

Pejabat Presiden Lubnan menyatakan, delegasinya ke Rome diarahkan untuk menuntut pengunduran segera tentera Israel dari kedua-dua zon itu sebelum sebarang perbincangan lanjut.

Menurut sumber diplomatik Lubnan, tentera negara itu bersedia mengambil alih kawasan-kawasan tersebut secara berperingkat selepas pengunduran Israel.

Penganalisis Orna Mizrahi dari Institut Kajian Keselamatan Nasional (INSS) di Tel Aviv berkata, Israel bersedia berundur secara beransur-ansur, tetapi dengan syarat tiada kehadiran Hezbollah di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Israel mahu memastikan tentera Lubnan mampu mengekalkan kawasan itu sebagai zon berkecuali dan menghalang Hezbollah daripada kembali.

Satu delegasi tentera Amerika Syarikat telah memulakan perbincangan dengan tentera Lubnan di Beirut mengenai proses pengunduran Israel dari salah satu zon perintis tersebut.

Rangka kerja perjanjian itu dicapai selepas gencatan senjata rapuh antara Hezbollah dan Israel berkuat kuasa.

Namun, tentera Israel masih meneruskan serangan terhad di selatan Lubnan, menurut media rasmi Lubnan.

Pihak berkuasa Lubnan menyatakan, serangan Israel dan operasi daratnya telah mengorbankan lebih 4,300 orang sejak perang bermula pada awal Mac.

Pensyarah Sciences Po Paris, Karim Bitar, berkata, peluang untuk mencapai kemajuan besar dalam rundingan di Rome adalah terhad.

Menurutnya, rundingan itu mungkin lebih kepada menunjukkan bahawa proses diplomatik masih berjalan meskipun terdapat tentangan dan cabaran.

Ketegangan serantau meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap Iran.
Tehran pula cuba mengaitkan konflik serantau dengan isu Lubnan.

Namun, Mizrahi berkata Israel mahu memisahkan isu Lubnan daripada rundingan lebih luas dengan Iran, sambil menambah bahawa keutamaan Tehran kini ialah Selat Hormuz dan isu nuklear.

Hezbollah sebelum ini mengheret Lubnan lebih jauh ke dalam konflik serantau pada 2 Mac dengan melancarkan peluru-peluru berpandu ke arah Israel sebagai sokongan kepada Iran.

Bitar memberi amaran, masih wujud risiko pertempuran besar kembali berlaku di Lubnan akibat peningkatan ketegangan serantau.

Namun, beliau berkata, Iran mungkin tidak mahu menggunakan Hezbollah untuk membuka medan perang baharu kerana mahu mengekalkan kumpulan itu sebagai alat pencegahan jangka panjang.
Sumber : AFP/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita