Lubnan cuba capai 'perjanjian tetap' selepas gencatan senjata Israel
Presiden Lubnan Joseph Aoun memberi isyarat kepada wartawan di Istana Presiden, di Baabda, timur Beirut, Lubnan, pada Rabu, 21 Mei 2025. (Gambar: AP/Hassan Ammar)
Dalam ucapannya kepada rakyat Lubnan sambil merujuk kepada kumpulan Hezbollah sehari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata itu, Encik Aoun berkata negaranya bukan lagi "medan untuk peperangan sesiapa".
Lubnan terjebak dalam konflik Timur Tengah pada 2 Mac lalu apabila Hezbollah menyerang Israel untuk membalas dendam kematian pemimpin tertinggi Iran Ali Khamenei.
Israel bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan ke atas Lubnan dan melancarkan serangan darat, membunuh hampir 2,300 orang dan menyebabkan lebih sejuta orang berpindah.
"Kini, kita semua berdiri di hadapan fasa baharu," kata Encik Aoun dalam ucapan pertamanya kepada negara sejak gencatan senjata dilaksanakan
"Ia adalah fasa peralihan daripada berusaha mencapai gencatan senjata kepada berusaha mencapai perjanjian kekal yang memelihara hak rakyat kita, perpaduan tanah kita, dan kedaulatan negara kita."
Beliau berkata pemerintah Lubnan sudah pun "menuntut semula Lubnan dan kuasa membuat keputusan negara itu buat pertama kali" dalam tempoh hampir setengah abad.
"Hari ini, kita berunding untuk diri kita sendiri... kita bukan lagi taruhan dalam permainan sesiapa, mahupun medan untuk peperangan sesiapa, dan kita tidak akan menjadi begitu lagi," katanya.
Sejak Encik Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam mengangkat sumpah tahun lalu, Beirut membuat beberapa keputusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap Hezbollah, termasuk komitmen untuk melucutkan senjata kumpulan itu pada Ogos lalu selepas gencatan senjata November 2024 berusaha menamatkan konfliknya yang terdahulu dengan Israel.
Ia juga mengharamkan aktiviti ketenteraan kumpulan itu selepas bermulanya perang terkini bulan lepas.
Hezbollah adalah satu-satunya kumpulan yang mengekalkan senjatanya selepas perang saudara 1975-1990 dengan alasan "penentangan" terhadap Israel, walaupun Israel sudah pun berundur dari negara itu pada tahun 2000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.