Lubnan buka semula ruang udara selepas serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel
Menteri Pengangkutan Ali Hamieh berkata Lubnan membuka semula ruang udaranya selepas menutupnya lebih awal pada Selasa (1 Okt) disebabkan oleh "perkembangan serantau" selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel.
"Berdasarkan saranan" pihak yang prihatin dalam penguasa penerbangan awam, "kami mengumumkan pembukaan semula ruang udara Lubnan dan oleh itu penyambungan semula" trafik udara, umum Encik Hamieh di platform X.
Iran melancarkan sekitar 180 peluru berpandu ke Israel pada Selasa (1 Okt) sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin-pemimpin yang disokong Tehran termasuk ketua kumpulan Hezbollah, Hassan Nasrallah.
Kebanyakan peluru berpandu telah dipintas oleh sistem pertahanan udara Israel atau oleh tentera udara bersekutu sebelum ia sampai ke Israel.
Awal dari itu, Encik Hamieh berkata setelah "mengambil kira perkembangan serantau, ruang udara akan ditutup kepada trafik udara selama dua jam", sambil menambah bahawa "penyambungan semula penerbangan akan dinilai kemudian".
Ia adalah serangan langsung kedua Iran ke atas Israel selepas serangan peluru berpandu dan dron pada April lalu sebagai tindak balas terhadap serangan udara maut Israel ke atas Konsulat Iran di Damsyik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.