Skip to main content

Dunia

LRT tergelincir di KL: Landasan dijangka beroperasi semula pada 3 Jun

Landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang terjejas akibat kejadian LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada Khamis (28 Mei) dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.

Anggaran Waktu Membaca:
LRT tergelincir di KL: Landasan dijangka beroperasi semula pada 3 Jun

Sebuah LRT Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berdekatan Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan suis landasan pada 28 Mei 2026. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 29 May 2026 03:56PM
  • LRT Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada 28 Mei akibat kerosakan suis landasan, namun semua 25 penumpang selamat.
  • Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan kerja pembaikan akan bermula selepas LRT dialihkan, dan operasi penuh dijangka pulih selewat-lewatnya Rabu depan.
  • Pasukan petugas khas bebas diketuai Mejar Jen Tan Chee Kee ditubuhkan untuk menyiasat punca kejadian, dengan laporan siasatan perlu disiapkan dalam 30 hari.
  • Operasi LRT diteruskan dengan jadual diubah suai, sementara siasatan turut meneliti aspek penyelenggaraan, rekod sistem, dan kemungkinan audit dalaman menyeluruh.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Landasan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang terjejas akibat kejadian LRT tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin pada Khamis (28 Mei) dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata LRT terbabit dijadualkan dialihkan pada Jumaat menggunakan kren sebelum kerja pembaikan landasan dimulakan.

Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika proses pertukaran landasan, apabila gerabak pertama daripada enam gerabak LRT berada di laluan betul menghala ke Putra Heights, namun gerabak seterusnya tersasar masuk ke landasan menghala ke Ampang.

“Keadaan itu menyebabkan daya tarikan daripada gerabak di belakang menarik keluar gerabak pertama, sekali gus mengakibatkan gerabak pertama dan kedua tergelincir sepenuhnya.

“Punca mengapa sistem suis atau peralatan pertukaran landasan itu tidak berfungsi dengan baik seperti yang sepatutnya perlu disiasat secara terperinci,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian kira-kira 250 meter dari Stesen LRT Chan Sow Lin, di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Sementara itu, Encik Loke berkata pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu adalah pasukan bebas tanpa penglibatan wakil Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) yang diketuai Ketua Inspektor Kemalangan Udara Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Mejar Jen Tan Chee Kee serta pakar dalam bidang kejuruteraan rel.

Kata Encik Loke, pasukan berkenaan diberi tempoh maksimum 30 hari untuk menyiapkan laporan siasatan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi tindakan susulan.

“Siasatan akan meneliti sama ada kejadian berpunca daripada kesilapan manusia, kerosakan sistem atau kegagalan sistem. Laporan itu juga akan diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dalam siasatan,” kata beliau.

Selain itu, siasatan turut merangkumi penelitian terhadap rejim penyelenggaraan oleh Prasarana, rekod dan log sistem berkaitan kejadian termasuk operasi di Pusat Kawalan Operasi (OCC), sistem isyarat serta faktor lain yang berkemungkinan menyumbang kepada kejadian itu.

Encik Loke berkata keterangan daripada kakitangan yang bertugas di OCC, pemandu LRT dan individu berkaitan akan diambil bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan audit dalaman lebih menyeluruh dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem transit rel kendalian Prasarana termasuk perkhidmatan LRT serta Transit Aliran Massa (MRT).

Berhubung operasi semasa, Encik Loke berkata semua stesen di laluan Ampang/Sri Petaling masih beroperasi, namun menggunakan jadual yang diubah suai bagi membolehkan pergerakan LRT diteruskan.

Beliau berkata buat masa ini, penumpang perlu melakukan pertukaran LRT di stesen tertentu dengan selang masa ketibaan (kekerapan) meningkat kepada antara enam hingga lapan minit sehingga kerja pembaikan selesai.

Dalam kejadian pada pagi Khamis, sebuah LRT Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berdekatan Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan, namun kesemua 25 penumpang yang terlibat selamat dipindahkan tanpa sebarang kecederaan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita