Skip to main content

Dunia

LRT tergelincir di KL: Kementerian Pengangkutan Malaysia tubuhkan pasukan petugas khas

Kementerian Pengangkutan Malaysia menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi tadi (28 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
LRT tergelincir di KL: Kementerian Pengangkutan Malaysia tubuhkan pasukan petugas khas

Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 May 2026 06:05PM
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling yang tergelincir pagi tadi (28 Mei).

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata dapatan siasatan pasukan itu akan dikemukakan kepada para menteri dan dihebahkan secepat mungkin.

Encik Loke berkata pada masa sama, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia diarahkan untuk mengambil tindakan hukuman paling maksimum terhadap pengendali perkhidmatan, iaitu Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

"Pihak APAD telah membuka kertas siasatan terhadap insiden ini serta-merta," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Encik Loke turut memaklumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah dan Pasukan Pengurusan Prasarana tidak boleh meneruskan sikap "business-as-usual".

Beliau berkata tiada tiada sesiapa dalam pengurusan tertinggi Prasarana akan terkecuali daripada akauntabiliti dalam insiden itu.

"Piawaian keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan awam bukanlah sesuatu yang boleh dikompromikan.

"Tindakan serius termasuk pemecatan perlu diambil oleh pihak Lembaga Pengarah Prasarana terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam tanggungjawab mereka untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehpercayaan perkhidmatan sistem rel di bawah kendalian Prasarana," katanya.

Insiden itu menyaksikan sebuah tren bagi Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan berdekatan Stesen Chan Sow Lin sehingga menjejaskan jadual perkhidmatan.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berpunca daripada kerosakan suis landasan yang menyebabkan tren tidak dapat bergerak.

Ketika kejadian, terdapat 25 penumpang dan mereka selamat dipindahkan dengan tiada kecederaan dilaporkan.
Sumber : Bernama/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita