Loji rawatan air Simpang Renggam dihentikan ekoran kandungan ammonia tinggi
Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam dihentikan operasi sejak Selasa (23 Apr) berikutan bacaan kandungan ammonia yang tinggi dan melebihi had yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah (Gambar fail: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam dihentikan operasi sejak Selasa (23 Apr) berikutan bacaan kandungan ammonia yang tinggi dan melebihi had yang dibenarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata disebabkan pencemaran itu 15,000 pemegang akaun di Simpang Renggam dan 8,000 di Pontian terjejas akibat gangguan bekalan air.
Katanya, pencemaran dipercayai berlaku apabila benteng kolam air larutan serapan di Tapak Pelupusan CEP 1 Simpang Renggam pecah akibat hujan lebat.
"SAJ terpaksa menghentikan operasi kerana kualiti sumber air mentah merosot akibat kandungan ammonia tinggi melebihi had yang dibenarkan iaitu 1.5 ppm.
"Setakat 12 tengah hari tadi, bacaan air di Sungai Ulu Benut telah mencatatkan bacaan 16 ppm sehingga menyebabkan LRA Simpang Renggam tidak dapat beroperasi membekalkan air bersih," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Encik Puah berkata sekiranya bacaan ppm tersebut menurun ke paras yang dibenarkan, tindakan sewajarnya akan diambil agar operasi memproses bekalan air bersih dapat dijalankan seperti biasa.
"Saya juga telah mengarahkan supaya Ranhill SAJ sentiasa kemas kini maklumat terbaru dan menyebarkan kepada orang awam terutamanya kepada pengguna yang terjejas.
Menurutnya, Ranhill SAJ juga mengerahkan 30 lori tangki air ke kawasan yang terjejas dan keutamaan adalah untuk sekolah dan hospital terlibat.
"Diharapkan agar pengguna yang terjejas boleh bersabar sedikit dengan keadaan ini dan pejabat saya akan sentiasa memantau bacaan ammonia," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.