Skip to main content

Dunia

Loji kuasa Gaza dijangka kembali beroperasi selepas terhenti lebih 2 tahun

Loji kuasa tunggal di Gaza dijangka beroperasi semula selepas ditutup selama lebih dua tahun akibat serangan genosid dan sekatan Israel, kata Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza pada Sabtu (24 Jan), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Anggaran Waktu Membaca:
Loji kuasa Gaza dijangka kembali beroperasi selepas terhenti lebih 2 tahun
Satu-satunya loji janakuasa yang tinggal di Gaza. (Gambar: Anadolu Ajansi melalui Bernama)
GAZA CITY: Loji kuasa tunggal di Gaza dijangka beroperasi semula selepas ditutup selama lebih dua tahun akibat serangan genosid dan sekatan Israel, kata Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza pada Sabtu (24 Jan), lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Penduduk Carikan Gaza, kami membawakan berita gembira bahawa terdapat jaminan dan kesediaan untuk loji penjanaan kuasa menyambung semula operasinya," kata Encik Ali Shaath menerusi platform media sosial Facebook.

Beliau berkata: "Di samping usaha dengan pihak antarabangsa mengenai tenaga suria, kami sedang bekerjasama dengan pembekal tenaga elektrik untuk memulihkan bekalan secepat mungkin."

Bagaimanapun, Encik Shaath tidak memberikan butiran terperinci mengenai cara bekalan elektrik akan dipulihkan, mekanisme yang terlibat, atau garis masa bagi proses berkenaan.

Sejak bermulanya genosid oleh Israel pada Oktober 2023, Israel memutuskan bekalan elektrik ke Gaza dan menyekat kemasukan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan loji kuasanya, meskipun perjanjian gencatan senjata sudah berkuat kuasa sejak Oktober lalu.

Sebelum tercetusnya genosid, bekalan elektrik yang tersedia di Carikan Gaza dianggarkan sekitar 212 megawatt, iaitu kurang daripada separuh daripada kira-kira 500 megawatt yang diperlukan bagi memastikan bekalan kuasa 24 jam.

Kekurangan bekalan elektrik di Carikan Gaza memberikan kesan malapetaka di seluruh wilayah itu, terutamanya menjejaskan penyedia perkhidmatan penting dan hospital.

Sepanjang dua tahun genosid, Israel turut menyasarkan rangkaian elektrik dengan memusnahkan kira-kira 5,080 kilometer talian kuasa dan 2,285 transformer pengagihan elektrik atas talian dan bawah tanah, menurut pejabat media Gaza. Jumlah kerugian dalam sektor elektrik Gaza dianggarkan mencecah kira-kira AS$1.4 bilion (S$1.78 bilion).
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita