Skip to main content

Dunia

Loji kimia di India bocor; 8 maut, 1,000 dimasukkan hospital

Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan ratusan lagi dimasukkan ke hospital selepas berlaku kebocoran gas di sebuah loji kimia di selatan India hari ini (7 Mei), kata pegawai menurut laporan Agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Loji kimia di India bocor; 8 maut, 1,000 dimasukkan hospital

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 May 2020 05:02PM Dikemas Kini : 07 May 2020 05:09PM

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan ratusan lagi dimasukkan ke hospital selepas berlaku kebocoran gas di sebuah loji kimia di selatan India hari ini (7 Mei), kata pegawai menurut laporan Agensi Anadolu.

Kebocoran itu berlaku di pelabuhan Vizaq dekat bandar Visakhapatnam, negeri Andhra Pradesh.

Ia berlaku kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan di sebuah kemudahan pengilangan milik LG Polymers.

Menurut pegawai polis tempatan, kebocoran gas itu membabitkan dua tangki 5,000 tan yang tidak diselenggara akibat pelaksanaan perintah berkurung bagi mengekang virus COVID-19 sejak akhir Mac lalu.

Ketika kejadian, loji berkenaan sedang membuat persiapan untuk dibuka semula selepas ditutup selama 40 hari.

Perdana Menteri Narendra Modi memuat naik di twitter, bahawa beliau telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan Penguasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) dan para pegawai Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

Keadaan di Visakhapatnam itu katanya sedang dipantau rapi.

Rakaman di saluran televisyen India menunjukkan orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak terbaring tidak sedarkan diri di bahu jalan sekitar Visakhapatnam.

Penyelaras hospital daerah, B K Naik memberitahu AFP, sekurang-kurangnya 1,000 mangsa telah dihantar ke hospital berlainan dan kemungkinan ramai lagi tidak sedarkan diri di rumah mereka.

"Insiden ini berlaku pada waktu awal pagi dan penduduk sedang tidur ketika kebocoran gas berlaku.

"Pihak berkuasa sedang melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah. Kami berusaha untuk membawa seberapa ramai mangsa ke hospital.

"Mereka perlukan bantuan pernafasan dan udara segar," katanya.

Antara yang maut termasuk dua warga tua dan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

Pihak berkuasa segera memindahkan penduduk yang berada sekitar tiga radius kilometer dari kilang kimia tersebut.

Dalam pada itu, pengendali loji tersebut LG Polymers menyatakan keadaan terkawal dan pihaknya sedang berusaha
untuk menyediakan rawatan segera kepada mereka yang terjejas.

"Kami sedang menyiasat kesan kerosakan serta puncanya dan jumlah kematian," tambah syarikat itu dalam satu kenyataan. 

Sumber : Bernama/AFP/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita