Skip to main content

Dunia

Liz Truss Perdana Menteri baru Britain

Anggaran Waktu Membaca:
Liz Truss Perdana Menteri baru Britain

Liz Truss (kanan) melambaikan tangan ketika berdiri sebelah pencabarnya, Rishi Sunak, di atas pentas selepas pilihan raya pucuk kepimpinan Konservatif di Wembley Arena di London pada 31 Ogos 2022. (Gambar: Kirsty Wigglesworth/AP)

LONDON: Liz Truss, 47 tahun, pada Isnin (5 Sep) dinamakan sebagai perdana menteri baru Britain dan pemimpin Parti Konservatif yang memerintah negara itu. Beliau mengambil alih jawatan itu ketika negara tersebut berdepan dengan krisis kos sara hidup, pergolakan perindustrian dan kegawatan ekonomi.

Beliau meraih 81,326 undi berbanding mantan menteri kewangan Rishi Sunak yang memperolehi 60,399 undi.

Selepas berkempen selama berminggu-minggu yang turut menyaksikan Cik Truss dilaga-lagakan dengan Encik Sunak, pengumuman pada Isnin menandakan bermulanya penyerahan jawatan daripada Boris Johnson, yang dipaksa supaya meletakkan jawatan Julai lalu selepas terjebak dengan skandal.

Cik Truss akan menjadi perdana menteri Konservatif yang keempat sejak pilihan raya 2015.
 
Truss akan menjadi perdana menteri wanita ketiga United Kingdom (UK) selepas Theresa May dan Margaret Thatcher.

Beliau menyandang jawatan selaku menteri ehwal luar setahun lalu selepas memegang beberapa jawatan menteri di jabatan-jabatan termasuk pendidikan, perdagangan antarabangsa dan undang-undang.

Pelibatannya dalam dunia politik bermula sedari usia remaja apabila beliau menjadi anggota Demokrat Liberal sebelum beralih ke haluan kanan Konservatif.

Pada 2016, beliau berkempen agar UK kekal sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU) namun kesetiaannya segera berubah apabila rakyat Britain menyokong Brexit.

Pengumuman pada Isnin itu akan disusuli dengan rantaian acara penting.

Pada Selasa, Encik Johnson akan menyampaikan ucapan perpisahan di Downing Street.

Encik Johnson akan menyerahkan surat peletakan jawatan secara rasmi kepada Ratu Elizabeth II, yang kemudian akan melantik Cik Truss selaku pengganti Encik Johnson.

Cik Truss bakal menjadi perdana menteri yang ke-15 sejak ratu naik takhta.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita