Lintasan sempadan Gaza-Mesir kekal ditutup sehingga dimaklumkan kelak: Netanyahu
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu (18 Okt) mengumumkan, lintasan sempadan Rafah antara Gaza dengan Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, sambil mengaitkan pembukaannya dengan penyerahan baki mayat tebusan Israel oleh Hamas.
Lori yang membawa bantuan kemanusiaan berbaris di sempadan Rafah di bahagian Mesir sebelum memasuki lintasan ke Carikan Gaza, selepas gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza mula berkuat kuasa, di Rafah, Mesir, pada 16 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Stringer)
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas Kedutaan Palestin di Kaherah memaklumkan, lintasan Rafah - satu-satunya pintu utama keluar masuk ke Carikan Gaza - akan dibuka semula pada Isnin bagi kemasukan bantuan dan individu ke wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, Hamas kemudian memaklumkan pihaknya akan menyerahkan dua lagi mayat tebusan Israel pada pukul 10.00 malam waktu tempatan, menjadikan 12 daripada 28 mayat tebusan Israel sudah diserahkan setakat ini di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan yang diuruskan Amerika Syarikat.
ISRAEL TUDUH HAMAS LENGAH PEMULANGAN MAYAT
Pertikaian berhubung proses penyerahan mayat tebusan itu menarik perhatian kepada kerapuhan gencatan senjata tersebut, yang merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Perkara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menamatkan perang di Gaza.
Di bawah perjanjian itu, Hamas sudah membebaskan semua 20 tebusan Israel yang masih hidup selepas ditahan selama dua tahun, sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin di penjara Israel.
Namun, Israel menuduh Hamas melengahkan pemulangan mayat tebusan sebagai alat tekanan politik.
Hamas pula menegaskan, proses pencarian mayat di kawasan Gaza yang musnah teruk memerlukan masa dan peralatan khas.
Pegawai Israel turut mengesahkan bahawa sebagai sebahagian daripada pertukaran itu, 15 mayat tahanan Palestin dikembalikan bagi setiap mayat tebusan Israel yang diterima.
BANTUAN KEMANUSIAAN MASIH TIDAK CUKUP
Lintasan Rafah sudah ditutup hampir sepenuhnya sejak Mei 2024, menyebabkan ribuan penduduk Gaza terus terperangkap dan tidak dapat meninggalkan wilayah yang dilanda perang itu.
Perjanjian gencatan senjata turut menetapkan lebih banyak kemasukan bantuan kemanusiaan, namun menurut Program Makanan Sedunia (WFP), hanya purata 560 tan metrik makanan sehari dibenarkan masuk sejak gencatan bermula - masih jauh daripada keperluan sebenar penduduk Gaza.
Sebelum ini, Israel memutuskan sepenuhnya bekalan ke Gaza selama 11 minggu pada Mac, sebelum membuka semula laluan bantuan secara berperingkat pada Julai dan selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.
INISIATIF DAMAI TRUMP TERUS DIPERSOAL
Penganalisis antarabangsa melihat halangan besar masih membayangi pelan damai Encik Trump, termasuk isu pelucutan senjata Hamas, masa depan pentadbiran Gaza, pembentukan pasukan penstabilan antarabangsa, serta langkah ke arah penubuhan negara Palestin.
Kenyataan terbaharu Encik Netanyahu itu mencerminkan jurang ketidakpercayaan yang semakin dalam antara kedua-dua pihak, sekali gus menyukarkan usaha pengantara antarabangsa untuk mengekalkan momentum gencatan senjata dan proses perdamaian yang rapuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.