Lintasan meteor menerangi langit Perth
Para penduduk merakam satu lintasan bola api yang menerangi langit Perth, Australia, sebelum ia jatuh ke bumi.
Petikan gambar video yang menunjukkan bola api di langit. (Gambar: Reuters melalui Bagus Sugiono)
PERTH: Para penduduk merakam satu lintasan bola api yang menerangi langit Perth, Australia, sebelum ia jatuh ke bumi.
Fenomena itu dirakam pada CCTV seorang penduduk tempatan Bejay Walker, yang mengatakan objek itu muncul di langit pada Selasa (28 Ogos), sekitar 7.40 malam waktu tempatan.
Encik Bagus Sugiono begitu bertuah kerana dapat sepintas menyaksikan bola api itu sedang beliau memandu di Jandakot, selatan pinggir pandar Perth.
Bola api itu dipercayai meteor atau tahi bintang yang memasuki atmosfera, lapor ABC News.
Ramai lagi penduduk Perth melaporkan tentang kejadian itu di media sosial dan melahirkan rasa kagum sambil bertanya-tanya jika ada orang lain yang melihat fenomena luarbiasa itu.
Balai cerap Perth menerima puluhan video dari orang ramai yang ternampak bola api itu melintasi langit dari kamera CCTV dan kenderaan mereka.
Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan juga dihujani panggilan daripada para saksi yang mengatakan mereka ternampak bola api tersebut, lapor ABC News.
Sementara itu, para saintis dari Universiti Curtin sedang menyiasat samada tahi bintang itu mencecah bumi dan di mana tempatnya.
Menurut pengarah Desert Fireball Network, Profesor Phil Bland, ada kemungkinan objek itu jatuh ke bumi, menurut ABC News lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.