Skip to main content

Dunia

Lindungi lebah kelulut demi pembangunan lestari dan industri 'Superfood' M'sia

Ramai yang suka makan madu namun jika diminta menghampiri sarang lebah, mungkin ramai yang tidak berani menghampirinya kerana takut disengat lebah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lindungi lebah kelulut demi pembangunan lestari dan industri 'Superfood' M'sia

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 11:02AM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 11:04AM

KUALA LUMPUR: Ramai yang suka makan madu namun jika diminta menghampiri sarang lebah, mungkin ramai yang tidak berani menghampirinya kerana takut disengat lebah.

Namun di Malaysia terdapat spesies lebah yang tidak bersengat dan diternak untuk madu, sama seperti lebah madu.

Dikenali sebagai lebah kelulut atau kelulut sahaja (juga digelar meliponini), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengiktiraf spesies itu sebagai 'Superfood' pertama Malaysia.

"Sama seperti lebah madu (Apis Mellifera), kelulut tinggal dalam koloni kekal terdiri daripada Ratu tunggal dan pekerja, yang mengutip debunga serta nektar sebagai makanan larva dalam koloni itu dan juga menyimpan madu untuk tujuan tersebut.

"Memandangkan semakin ramai orang yang semakin sedar pentingnya menjaga kesihatan serta pemakanan dan sifat perubatan dalam makanan, madu lebah kelulut yang dikategorikan sebagai 'superfood' semakin menjadi popular.

"Meskipun permintaannya semakin meningkat, namun bekalan madu kelulut masih rendah kerana di Malaysia, kita masih bergantung kepada madu yang diimport, " kata Pensyarah Kanan Neurosains, Universiti Sains Malaysia, Dr Mohd Zulkifli Mustafa.

Menurut beliau, lebah madu yang tidak bersengat sudah lama digunakan untuk kegunaan tradisional masyarakat orang Asli dengan ciri terapeutik termasuk antidiabetik dan antioksidan.

"Lebah juga bertindak sebagai pendebunga tumbuhan, menghasilkan pendebungaan tanaman yang lebih baik dan berpotensi meningkatkan tuaian tanaman sehingga sebanyak 40 peratus.

Ini menambah pendapatan penternak lebah serta penduduk kawasan kejiranan, di samping meningkatkan produk pertanian negara.

"Pada masa ini, lebah yang tidak bersengat ini adalah aset penting kepada permintaan pertanian untuk pendebungaan bagi tujuan keselamatan makanan. Untuk itu, ternakan lebah perlu dianggap sebagai alat penting untuk mencapai pembangunan lestari," beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

IDENTITI LEBAH TANPA SENGAT

Menurut Dr Zulkifli, terdapat lebih daripada 35 spesies lebah tidak bersengat dikenalpasti di Malaysia namun hanya dua spesis sahaja diternak secara komersil untuk mendapatkan madunya.

"Berbanding lebah madu, lebah yang tidak bersengat ini secara umumnya tidak berbahaya kepada manusia dan haiwan ternakan. Lebah berkenaan juga pendebunga yang bagus, di samping tahan penyakit dan parasit yang menjejas lebah madu (yang boleh menyengat).

"Lebah tidak bersengat ini bersaiz lebih kecil, kira-kira 7 mm hingga 10 mm, terbang jarak pendek kira-kira 500 meter - menjadikan mudah untuk menyimpan lebah ini di antara tanaman untuk pendebungaan, berbanding lebah madu yang bersaiz lebih besar (12 mm hingga 25 mm) dan jarak terbang dua kilometer, " katanya.

Menurut beliau lagi, lebah yang tidak bersengat boleh menghasilkan purata empat kilogram madu untuk setiap satu koloni setiap tahun, dan masa tuaian antara Mac hingga September.

"Iklim tropika Malaysia menyebabkan kandungan kelembapan dalam madu tinggi, menghasilkan penapaian yang menjadikan madu masam dan ada tekstur berbuih. Ini menurunkan harga madu Malaysia di pasaran antarabangsa.

"Dinding sarang lebah dibuat daripada propolis (dari bahan berair dikumpul dari tunas pokok) dan pod propolis membantu meningkatkan nutrien dalam madu," katanya.

Beliau menjelaskan komponen utama madu lebah yang tidak menyengat termasuk gula (fruktosa and glukosa) dan hampir sifar hydroxymethylfurfural (HMF), di samping asid organik, kandungan fenolic, protin, asid amino, enzim, vitamin dan galian.

"Madu ini mempunyai potensi besar untuk menghalang penyakit kronik, seperti kanser, angin ahmar, darah tinggi dan kencing manis."

"Malah, madu lebah yang tidak bersengat ini boleh menstabilkan suhu badan dan meningkatkan imuniti ketika pandemik COVID-19 ini," katanya.

PEMULIHARAAN LEBAH KELULUT

Membandingkan lebah Tualang yang membuat sarang, kebanyakannya di dalam hutan dan tinggi dari tanah, Dr. Zulkifli berkata lebah kelulut membina sarang dalam lubang yang sedia ada di dalam pokok, bangunan dan sarang.

Menurut beliau, koloni lebah liar di Malaysia dan di luar negara telah merosot, diancam kehilangan habitat akibat kegiatan pembalakan, peluasan kawasan perumahan ke dalam hutan dara dan penggunaan racun serangga di ladang.

"Pada hakikat, kerosakan pokok apabila pemburu lebah memotong keseluruhan pokok untuk mendapatkan koloni lebah boleh memusnahkan flora dan fauna, yang juga menjejaskan pendebungaan tanaman,

"Oleh yang demikian, kami menggalakkan perkebunan organik seperti perkebunan menegak, mengelakkan penggunaan racun serangga juga penebangan hutan yang akan memusnahkan koloni lebah.

"Pada masa ini kami mempunyai lebih daripada 50,000 sarang lebih dan 6,000 daripadanya adalah sarang lebah tanpa sengat, dan yang terbesar adalah di Sarawak dan di Semenanjung, terletak di Kelantan," katanya. 

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita