Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lima sekeluarga tawar khidmat percuma jaga anak-anak petugas kesihatan

 Lima sekeluarga menawarkan khidmat penjagaan anak secara percuma bagi kakitangan dan petugas kesihatan yang bertugas di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lima sekeluarga tawar khidmat percuma jaga anak-anak petugas kesihatan

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 18 Mar 2020 09:00PM Dikemas Kini : 18 Mar 2020 09:03PM

JOHOR BAHRU: Lima sekeluarga menawarkan khidmat penjagaan anak secara percuma bagi kakitangan dan petugas kesihatan yang bertugas di Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Cik Izzati Najihah Mohd Zohar, 21 tahun, yang masih menuntut di sebuah universiti awam di negara ini menganggap tugas yang diamanahkan kepada petugas kesihatan ketika ini amatlah berat dengan mereka diperlukan setiap masa dan perlu berada dalam keadaan sentiasa bersiap sedia.

Pada mulanya dia dan ibunya Cik Rozilah Moin, 48 tahun, hanya bertukar-tukar cerita berkaitan penularan wabak berkenaan, namun setelah mendengar pengorbanan yang dilakukan oleh petugas kesihatan tersebut, mereka ingin turut serta ‘berkhidmat’ dalam membantu usaha mengekang COVID-19 ini.

“Selain ibu, usaha untuk menjaga anak petugas kesihatan di HSI dan HSA ini akan turut dilakukan oleh kakak, Cik Izzati Nabihah, 27 tahun, dan Cik Izzati Nabilah, 25 tahun, yang masing-masing mempunyai sijil menjaga kanak-kanak yang dikeluarkan Program Permata, selain adik, Rozilah, 18 tahun, yang akan membantu kami.

“Sehingga kini, kira-kira pukul 10.30 pagi baru ada seorang petugas kesihatan yang mendapatkan khidmat kami, di mana dia bertugas di HSI, namun kami telah mendapat beberapa panggilan telefon bertanyakan usaha kami ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jelas Cik Izzati Najihah lagi, mereka berempat turut mempunyai pengalaman menjaga kanak-kanak dan pernah bekerja sambilan di sebuah taska berhampiran dengan rumah mereka.

Katanya, melalui khidmat yang ditawarkan ini mereka tidak meminta sebarang bayaran dan ia dilakukan dengan percuma serta seikhlas hati.

“Kami sekeluarga tidak mempunyai apa-apa untuk disumbangkan ketika wabak ini berlaku, yang kami ada hanyalah tenaga dan juga pengalaman yang kami peroleh sebelum ini.

“Diharapkan usaha kami ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak dengan menyokongnya, selain mengharapkan tiada pandangan yang negatif terhadap apa yang kami sekeluarga lakukan ini,” katanya yang tinggal di Taman Jaya Putra, di sini.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan