Skip to main content

Dunia

Lima individu termasuk seorang warga SG dihadapkan ke mahkamah Kota Tinggi sabit kes pembuangan sisa kilang

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Lima individu termasuk seorang warga Singapura yang disyaki terlibat dengan kes pembuangan sisa kilang di lombong Kampung Orang Asli Pasir Intan, Kota Tinggi, Johor sehingga menyebabkan pencemaran, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi pada Khamis (26 Sep).

Ketua Polis Johor M Kumar berkata tiga lelaki berumur antara 23 hingga 52 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan kerana melakukan sabotaj yang boleh dihukum penjara maksimum 40 tahun jika sabit kesalahan.

Beliau berkata dua lagi tangkapan iaitu pengarah dan pemegang saham sebuah kilang di Seri Alam masing-masing berumur 41 dan 53 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat melakukan sabotaj.

"Empat lagi lelaki tempatan yang ditangkap akan dibebaskan dengan bon jaminan di bawah peruntukan Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan.

Encik Kumar berkata polis kontinjen Johor telah selesai menjalankan siasatan itu dan kertas siasatan telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.

"Kesalahan di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan merupakan satu kesalahan terhadap negara sebagaimana Bahagian VI Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan pencemaran yang boleh mengganggu kelestarian alam sekitar.

Pada 5 September lepas, sebanyak 38 penduduk dari kampung terbabit berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang ekoran pencemaran bahan kimia yang berlaku di kampung berkenaan.

Pemindahan itu membabitkan 10 keluarga selepas penduduk dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.
Sumber : Bernama/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita