Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lim Kit Siang bersara dari politik; tidak akan bertanding PRU15

Anggaran Waktu Membaca:

SHAH ALAM: Tokoh veteran DAP Lim Kit Siang hari ini (20 Mac) mengumumkan persaraan beliau daripada arena politik, sekali gus tidak akan bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut Ahli Parlimen (AP) Iskandar Puteri yang kini sudah berusia 81 tahun itu, beliau juga menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hari ini.

Katanya lagi, sejak berada dalam parti DAP, beliau sudah melihat bagaimana parti itu berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil hingga berjaya menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.

“Saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum tahun 1969, sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 hari ini.

Beliau berkata Pilihan Raya Negeri Johor merupakan satu peringatan yang penting bahawa Impian Malaysia yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya, yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa merupakan satu perjuangan politik jangka panjang.

“Dalam proses ini, kita menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan. Tapi kita mesti kekal dengan matlamat kita dan jangan sekali-kali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita,” katanya.

Awal dari itu, anaknya Lim Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP dalam ucapan dasarnya berkata bapanya dilantik untuk berkhidmat dalam CEC sejak berusia 26 tahun.

“Ketika itu tiada siapa yang menyangka bahawa Lim Kit Siang akan menjadi nama besar dalam kalangan ahli politik Malaysia disebabkan kebijaksanaan, keberanian, semangat juang, dan kesetiaannya kepada prinsip serta ideal.

“Untuk sekian lama, perdana menteri serta menteri-menteri kabinet menganggap Lim Kit Siang sebagai ‘lawan’ yang hebat,” katanya sambil menambah Lim Kit Siang merupakan ketua pembangkang paling lama berkhidmat, iaitu sejak tahun 1974 hingga 1999.

Lim Kit Siang memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung DAP pada tahun 1969 dan seterusnya dilantik menjadi Pengerusi Kebangsaan dari tahun 1999 hingga 2004.

Selain Iskandar Puteri, beliau pernah berkhidmat sebagai AP di Bandar Melaka (1969-1974); Kota Melaka (1974-1978); Petaling Jaya, Selangor (1978-1982); Kota Melaka (1982-1986); Tanjong, Pulau Pinang (1986-1999); Ipoh Timur, Perak (2004-2013) dan Gelang Patah, Johor (2013-2018).

Beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982); Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).

Sumber : Bernama/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan