Skip to main content

Dunia

Liga Arab kutuk undang-undang Israel putuskan bekalan api air kepada UNRWA

Anggaran Waktu Membaca:
Liga Arab kutuk undang-undang Israel putuskan bekalan api air kepada UNRWA
Bangunan yang menempatkan klinik UNRWA. (Gambar: AFP)
Diterbitkan : 31 Dec 2025 11:32AM
KAHERAH: Liga Arab mengecam tindakan Knesset Israel pada Selasa (30 Dis) yang meluluskan undang-undang untuk memutuskan bekalan elektrik dan air ke pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), lapor agensi berita Xinhua.

Menerusi satu kenyataan, Liga Arab menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada kempen berterusan yang menyasarkan UNRWA, selain merupakan tambahan kepada undang-undang sebelumnya yang bertujuan mengharamkan operasi agensi tersebut di wilayah Palestin yang diduduki.

Liga Arab menyifatkan undang-undang berkenaan sebagai "pencabulan jelas" terhadap kekebalan dan keistimewaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan itu juga dianggap sebagai satu bentuk penentangan terhadap ketetapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencerminkan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai tanggungjawab Israel di wilayah yang diduduki, termasuk Baitulmakdis Timur.

Liga Arab memberi amaran bahawa undang-undang itu, yang berkuat kuasa serta-merta, boleh membawa "bencana" serta menjejas keupayaan UNRWA untuk menyampaikan perkhidmatan asas kepada pelarian Palestin, terutamanya di Gaza, di mana agensi itu memainkan peranan utama dalam usaha pembangunan semula. 

Sehubungan itu, Liga Arab menggesa masyarakat antarabangsa supaya menegakkan tanggungjawab undang-undang serta moral dan membantah langkah Israel yang menyasarkan UNRWA.

Pada Isnin (29 Dis), Knesset meluluskan undang-undang itu dalam bacaan akhir dengan undian 59-7, yang melarang penyediaan bekalan elektrik dan air ke semua kemudahan yang dikendalikan oleh UNRWA.

Agensi itu kini mengendalikan beratus-ratus sekolah dan pusat kesihatan di seluruh Gaza, Tebing Barat, dan Baitulmakdis Timur di bawah mandat PBB.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita