Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Libatkan semua peringkat UMNO dalam 'bedah siasat' besar-besaran, kata Ketua UMNO Bahagian Segambut

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Semua peringkat kepimpinan serta ahli perlu bertanggungjawab dan dilibatkan dalam 'bedah siasat' besar-besaran melalui pemilihan parti UMNO yang sudah diputuskan kepimpinan tertinggi.

Ketua UMNO Bahagian Segambut, Mahathir Sulaiman, menegaskan pemilihan parti di semua peringkat jawatan terutama jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan pada tahun ini, sebagaimana turut diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas sebelum ini, lapor Astro AWANI.

Jelas beliau, jika terdapat ura-ura bahawa akan ada satu usul bakal dikemukakan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dilakukan pada PAU minggu depan, maka sebagai ahli, ia secara jelas satu tindakan tidak menghormati keputusan PAU Khas tersebut.

"Saya menghormati institusi Presiden dan saya mahu institusi ini diperkasakan setelah kekalahan teruk UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam sejarah PRU Malaysia pada PRU15 lalu.

"Biarlah sokongan terhadap Presiden dan parti kita kini diabsahkan melalui pemilihan parti yang sihat," katanya dalam kenyataan pada Rabu (4 Jan).

Menurut beliau, keputusan besar sebegini perlu dibuat secara kolektif oleh kesemua ahli parti termasuk di peringkat akar umbi dan bukan hanya segelintir perwakilan yang hadir melalui sorakan mahupun tepukan yang menggemakan dalam Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada minggu depan, lapor Astro AWANI.

Encik Mahathir juga menggesa semua agar tidak leka, terbuai dan bertindak seolah-olah parti ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan mengambil keputusan untuk tidak melakukan pemilihan parti.

Ia hanya kerana segelintir pemimpin tertinggi parti berada dalam barisan Kabinet kerajaan pada masa kini, ujar beliau

"Pemilihan parti ini lebih kepada urusan parti dan bukannya atau tiada kena mengena dengan kerajaan hari ini.

"Semangat kita semua ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi perlu didengar serta dihormati!" katanya.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan