Letusan Gunung Dukono: Polis siasat kelalaian jurupandu pendaki
Pihak polis memulakan siasatan berhubung dakwaan berlakunya kecuaian dalam kejadian letusan Gunung Dukono yang meragut nyawa tiga orang pendaki.
Asap menjulang akibat letusan Gunung Dukono seperti yang dilihat dari Tobelo, Maluku Utara, pada 8 Mei 2026. (Gambar: AFP/Agensi Geologi Indonesia)
Enam jurupandu pendaki dan porter (pengangkut barangan) yang dipercayai membawa rombongan berkenaan masuk secara haram ke kawasan larangan itu sedang disoal siasat pihak berkuasa.
Tiga pendaki maut apabila Gunung Dukono di Kabupaten Halmahera Utara, Maluku Utara meletus Jumaat lalu. Lagi 17 pendaki lain turut berada di gunung tersebut ketika kejadian.
“Yang diperiksa enam orang, jurupandunya dan porter,” kata Ketua Polis Halmahera Utara Erlichson Pasaribu, pada Ahad (10 Mei), seperti yang dipetik detikSulsel.
Encik Erlichson berkata jurupandu dan porter terbabit dipercayai cuai. Mereka nekad melakukan pendakian meskipun laluan di Gunung Dukono ditutup kerana statusnya masih berada pada tahap 2, iaitu tahap berjaga-jaga.
Status tahap 2 bermakna kegiatan gunung berapi melebihi paras biasa, sekali gus mewujudkan potensi bahaya di kawasan tertentu, terutamanya berhampiran kawah. Di bawah status tersebut, para pendaki masih boleh melakukan pendakian tetapi dilarang daripada menghampiri kawasan kawah.
Pusat Vulkanologi & Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) sudah melarang kegiatan di Gunung Dukono, dalam jarak sekitar empat kilometer dari kawah Malupang Warirang akibat hamburan abu dan bahan gunung berapi yang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Gunung Dukono mempunyai ciri yang berbeza daripada kebanyakan gunung lain kerana ia meletus secara berterusan meskipun diletakkan di bawah status tahap 2.
“Kan boleh dinilai sendiri. Inikan dilarang (pendakian), pasti lalai. Kerana statusnya (Gunung Dukono) tahap 2, waspada,” kata beliau.
Keenam-enam jurupandu dan porter itu sedang ditahan pihak polis, yang masih menyiasat bagaimana rombongan pendaki tersebut boleh melakukan pendakian ketika laluan ditutup.
"Meskipun mereka ditahan, status mereka hanya sebagai saksi," kata Encik Erlichson.
Gunung Dukono ditutup sejak 17 April 2026, berdasarkan dekri nombor 556/061 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pelancongan Halmahera Utara. Dekri tersebut melarang pengendali, pengurus, penyedia perkhidmatan, atau mana-mana pihak lain daripada memberi permit mendaki kepada sesiapa pun.
"Orang ramai, pendaki dan pelancong juga dilarang memasuki kawasan rawan bencana (KRB) dalam radius 4 kilometer dari puncak kawah, seperti yang disyorkan oleh Pusat Vulkanologi dan Geofizik (PVMBG)," kata Abdul Muhari, Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Negara (PVMBG), dalam satu kenyataan.
Berikutan tragedi pada Jumaat (8 Mei), pihak berkuasa Kabupaten Halmahera Utara mengulangi penutupan sepenuhnya semua kegiatan mendaki.
Ini disahkan dalam surat bernombor 500.10.5.3/491, yang dikeluarkan pada hari yang sama.
"Orang ramai dan pelancong diminta agar mematuhi nasihat pihak berkuasa tempatan dan dilarang mendaki melalui semua laluan ke kawasan pergunungan," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.