Letusan Gunung Dukono: Mayat mangsa pertama disahkan, dipercayai warga Indonesia
TOBELO: Pihak berkuasa Indonesia pada Sabtu (9 Mei) mengesahkan kematian seorang pendaki yang terperangkap menyusuli letusan Gunung Dukono pada Jumaat, sambil menambah bahawa mangsa merupakan rakyat Indonesia.
Pasukan penyelamat sedang berusaha membawa turun mayat itu, yang dikenalpasti pihak berkuasa sebagai seorang wanita bernama Angel, kata Iwan Ramdani, ketua agensi penyelamat tempatan, kepada pemberita. Mayat itu akan dibawa ke hospital serantau untuk dikenal pasti.
Dua pendaki Singapura masih hilang walaupun lokasi mereka sudah dikenal pasti.
"Ini kerana letusan masih berterusan, hujan lebat dan masih terdapat banjir yang dipenuhi serpihan. Selain banjir, bahan (gunung berapi) juga panas, yang menimbulkan bahaya kepada pasukan mencari dan menyelamat," kata Encik Iwan, sambil menambah bahawa salah seorang daripada mereka telah menghidupkan suar pencari yang menghantar isyarat kecemasan.
Tiga pendaki itu dalam kalangan sekumpulan 20 orang di lereng gunung berapi di wilayah Maluku Utara, Indonesia itu, apabila ia meletus pada pagi Jumaat, menghamburkan abu setinggi 10km ke langit.
Ketiga-tiga mereka hilang semasa letusan itu, manakala baki 17 pendaki - tujuh rakyat Singapura dan 10 rakyat Indonesia - dipindahkan pada hari itu.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana, BNPB, menyatakan pada awal Sabtu bahawa lokasi dua pendaki Singapura itu dikenal pasti pada hari Jumaat, tetapi usaha pemindahan dihambat oleh permukaan bumi yang amat sukar dilalui dan peningkatan kegiatan gunung berapi di sekitar gunung berapi itu.
Maklumat awal menunjukkan bahawa mereka berada kira-kira 20m hingga 30m dari kawah utama gunung berapi itu, kata BNPB dalam satu catatan Facebook.
Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) dan kedutaan di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengumpul maklumat dan memberikan bantuan konsular serta sokongan kepada rakyat Singapura yang terjejas dan keluarga mereka, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.