Letusan Gunung Dukono: Indonesia sambung semula operasi cari 3 pendaki hilang
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan pada 8 Mei 2026 oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) menunjukkan anggota penyelamat bersiap sedia selepas letusan Gunung Dukono di Halmahera Utara, Maluku Utara. (Gambar: Handout/BASARNAS/AFP)
This audio is generated by an AI tool.
Agensi penyelamat menghentikan operasi mencari pada petang Jumaat (8 Mei) kerana gunung berapi itu masih terus meletus.
Sekurang-kurangnya 100 anggota pasukan penyelamat, termasuk tentera dan polis serta dua dron terma (thermal), dikerahkan sejak pagi Sabtu (9 Mei) untuk mencari tiga mangsa yang hilang, kata ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani, kepada Reuters.
Pendaki yang hilang terdiri daripada dua rakyat Singapura dan seorang warga Indonesia, tambahnya.
“Kami memberi tumpuan mencari di sekitar kawah, meliputi kawasan kira-kira 700 meter,” kata Encik Iwan.
Gunung Dukono meletus pada pagi Jumaat (8 Mei), menghamburkan abu setinggi kira-kira 10km ke udara.
Seramai 20 pendaki berada di lereng gunung tersebut ketika bencana berlaku, kata ketua polis Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu, kepada para wartawan di stesen pemantauan gunung berapi di Kampung Mamuya.
Pihak berkuasa pada Jumaat sudah memindahkan 17 orang, terdiri daripada tujuh rakyat Singapura dan 10 warga Indonesia.
Mangsa yang terselamat berkata tiga individu, termasuk dua rakyat Singapura, terkorban dalam letusan itu, kata Encik Erlichson, namun agensi penyelamat masih belum mengesahkan kematian tersebut setakat Sabtu (9 Mei).
Operasi mencari pada Sabtu masih terjejas akibat letusan berterusan, kata Encik Iwan.
Agensi vulkanologi mencatat sekurang-kurangnya empat letusan pada pagi Sabtu, kata ketua agensi tersebut, Lana Saria, dalam kenyataannya.
Agensi itu mengekalkan status amaran Gunung Dukono pada tahap ketiga tertinggi, tambahnya.
Penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya jangan menjalankan sebarang aktiviti dalam lingkungan 4km dari kawah, katanya.
Setakat ini tiada gangguan penerbangan dilaporkan akibat letusan tersebut.
Indonesia terletak di 'Lingkaran Gunung Berapi' Pasifik, kawasan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi di atas pelbagai plat tektonik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.