Skip to main content

Dunia

Letusan Gunung Dukono: Indonesia kenal pasti lokasi 2 pendaki warga SG, letusan hambat operasi menyelamat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 May 2026 03:05PM Dikemas Kini : 24 May 2026 10:50PM
JAKARTA: Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pada Sabtu (9 Mei) bahawa lokasi dua pendaki rakyat Singapura sudah dikenal pasti semasa operasi mencari dan menyelamat pada Jumaat (8 Mei), namun usaha menyelamat tidak dapat diteruskan disebabkan oleh keadaan muka bumi yang ekstrem dan peningkatan aktiviti gunung berapi di sekitar Gunung Dukono.

Maklumat awal menunjukkan mereka berada kira-kira 20 meter (m) hingga 30m dari kawah utama gunung berapi itu, menurut BNPB dalam catatannya di Facebook, sambil menambah bahawa sebarang operasi pemindahan memerlukan perancangan teliti berikutan risiko peningkatan aktiviti gunung berapi serta kebimbangan terhadap keselamatan pasukan penyelamat.

Pendaki warga Indonesia masih belum ditemui, dengan usaha pencarian diteruskan, kata BNPB.

Pasukan penyelamat berdepan keadaan mencabar di lapangan kerana perlu berdepan dengan gunung berapi yang sentiasa meletus.

“Bahaya di sini bukan soal bila ia akan meletus, tetapi sejauh mana bahan yang dilontarkan,” kata pakar vulkanologi dari Universitas Pembangunan Nasional "Veteran" Yogyakarta, Eko Teguh Paripurno, kepada Mediacorp, sambil menambah bahawa keadaan di puncak boleh berubah dengan pantas – terutama jika arah angin berubah secara tiba-tiba.

Encik Eko menyifatkan kewujudan laluan tidak rasmi sebagai cabaran terbesar bagi pihak berkuasa, dengan berkata ia “melumpuhkan sistem pemantauan”.

Seorang penyambut tetamu hotel di Tobelo, bandar terdekat dengan Gunung Dukono, memberitahu Mediacorp pada Jumaat (8 Mei) bahawa terdapat dua laluan ke gunung berapi itu - laluan pendakian rasmi dan laluan alternatif yang tidak dipantau, yang sering digunakan pelancong walaupun berlaku letusan.

Seorang pemandu pelancong tempatan, memetik rakan pemandu lain, berkata mangsa dipercayai menggunakan laluan yang lebih pantas tetapi lebih berbahaya untuk mendaki Gunung Dukono, walaupun tidak jelas sama ada laluan itu aalah laluan tidak rasmi.

“Pihak berkuasa tidak mempunyai data mengenai siapa yang berada di gunung, berapa ramai dan di mana lokasi pendaki apabila bahaya meningkat,” kata Encik Eko, sambil merujuk kepada pendaki yang menggunakan laluan tidak rasmi.

Situasi sedemikian turut memberi kesan langsung kepada operasi mencari dan menyelamat, menjadikannya lebih sukar, mahal dan berisiko, tambahnya.

Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kedutaan Singapura di Jakarta sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengumpul maklumat serta menghulurkan bantuan konsular dan sokongan kepada rakyat Singapura yang terjejas dan keluarga mereka, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat (8 Mei).

Agensi vulkanologi mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono, kata ketuanya, Lana Saria, sambil menambah bahawa penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya jangan menjalankan sebarang aktiviti dalam lingkungan 4 kilometer dari kawah.

Tiada laporan gangguan terhadap penerbangan akibat letusan tersebut.

Indonesia terletak di 'Lingkaran Gunung Berapi' Pasifik, kawasan yang mempunyai aktiviti seismik tinggi di atas pelbagai plat tektonik.

 
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita