Letusan Gunung Dukono: 2 pendaki warga SG dilapor hilang sebelum ini disahkan terkorban
Anggota mencari dan menyelamat menghadiri taklimat pada 10 Mei sebelum operasi mencari dua pendaki warga Singapura yang hilang di Gunung Dukono, Maluku Utara. (Gambar: Basarnas)
Kedua-dua pendaki itu sebelum ini dikenal pasti sebagai Heng Wen Qiang Timothy, 30 tahun, dan Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27 tahun, semasa mengeluarkan senarai mangsa terselamat dan hilang.
Pasukan penyelamat turut menemui beg galas yang dipercayai milik kedua-dua warga Singapura itu.
Awal dari itu, usaha mencari dua pendaki warga Singapura yang hilang menyusuli letusan Gunung Dukono terhambat disebabkan oleh letusan berterusan dan cuaca buruk pada Ahad (10 Mei).
Ketua Polis Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu, berkata beberapa pemandu pelancong tempatan sedang disiasat dan berkemungkinan berdepan tindakan undang-undang kerana membawa sekumpulan pelancong Singapura dan warga Indonesia berhampiran kawah, walaupun kawasan dalam lingkungan 4 kilometer ditutup untuk sebarang aktiviti.
“Pemandu-pemandu pelancong tersebut kini disiasat atas dakwaan kecuaian yang mengakibatkan kematian orang lain,” kata Encik Erlichson kepada Mediacorp.
Beliau menambah bahawa kesalahan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun di bawah Undang-Undang Penanggulangan (Pengurusan) Bencana Indonesia serta peraturan keselamatan awam lain.
Seramai kira-kira 150 anggota pasukan penyelamat bersama dua dron terma sudah dikerahkan sejak pagi Ahad, kata ketua agensi penyelamat tempatan, Iwan Ramdani, dengan fokus pencarian sekitar 100 hingga 150 meter dari tebing kawah.
“Namun, Gunung Dukono terus meletus dan hujan juga melanda kawasan tersebut. Kami menjalankan usaha menyelamat sebaik sahaja letusan terhenti,” kata Encik Iwan kepada Reuters.
Gunung Dukono, yang terletak di wilayah Maluku Utara berhampiran Lautan Pasifik, mula meletus pada Jumaat lalu (8 Mei) dengan menyemburkan abu setinggi 10 kilometer. Ia terus mengalami letusan pada skala lebih rendah sejak itu.
Pada Sabtu (9 Mei), pasukan penyelamat menemui mayat seorang warga Indonesia yang dipercayai seorang wanita bernama Angel, kata Iwan. Mayat tersebut akan dibawa ke hospital daerah untuk proses pengecaman.
Seorang pemandu pelancong tempatan, memetik rakan-rakan pemandu lain, berkata mangsa dipercayai menggunakan laluan yang lebih pantas tetapi lebih berbahaya untuk mendaki Gunung Dukono, walaupun masih tidak jelas sama ada laluan itu adalah laluan tidak rasmi.
Seramai 17 orang, termasuk tujuh warga Singapura dan 10 rakyat Indonesia, terselamat dalam insiden tersebut.
Tujuh warga Singapura yang berjaya diselamatkan akan pulang ke tanah air pada Ahad (10 Mei), menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura pada Sabtu.
Agensi vulkanologi Indonesia melaporkan sekurang-kurangnya tiga letusan setakat pagi Ahad, dengan letusan tertinggi menyemburkan abu setinggi 1.3 kilometer, menurut kenyataannya.
Agensi itu masih mengekalkan tahap amaran ketiga tertinggi bagi Gunung Dukono dan melarang sebarang aktiviti dalam lingkungan 4 kilometer dari kawah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.