Letupan Sri Lanka: Perdana Menteri kutuk serangan 'pengecut'
Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe mengutuk siri letupan yang meragut sekurang-kurang 137 nyawa pada Ahad (21 Apr) sebagai satu perbuatan "pengecut".
Letupan pertama dilaporkan di St Anthony's Shrine dalam Gereja Colombo (gambar) dan Gereja St Sebastian's di bandar Negombo. (Gambar: ISHARA S. KODIKARA/AFP)
COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe mengutuk siri letupan yang meragut sekurang-kurang 137 nyawa pada Ahad (21 Apr) sebagai satu perbuatan "pengecut". Beliau berkata pemerintah sedang berusaha untuk "mengawal keadaan".
Menerusi catatannya di akaun twitter, beliau menyeru semua warga Sri Lanka untuk kekal bersatu dan teguh semasa waktu tragik ini dan menambah pemerintah sedang mengambil langkah-langkah segera untuk menangani keadaan.
Dalam ucapannya, Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena berkata beliau terkejut dengan letupan itu dan merayu agar orang ramai kekal bertenang.
Menteri Reformasi Ekonomi dan Pengedaran Awam Sri Lanka Harsha de Silva menulis dalam akaun twitter-nya: "Mesyuarat tergempar bakal diadakan dalam beberapa minit lagi. Operasi menyelamat dalam perjalanan."
Encik Harsha de Silva berkata beliau sudah menziarahi dua daripada hotel yang diserang dan menggambarkan "keadaan menggerunkan" di tapak serangan St Anthony's Shrine.
"Saya lihat banyak bahagian tubuh tercampak merata," kata beliau dalam catatan twitter sambil menambah bahawa terdapat "banyak mangsa korban termasuk warga asing."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.