Letupan Sri Lanka lebih dahsyat berbanding pengeboman Bali, Mumbai
Siri serangan pengganas yang dilancarkan ke atas beberapa gereja dan hotel mewah serta sebuah rumah di Sri Lanka pada Hari Easter adalah serangan paling dahsyat yang pernah berlaku di Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Gereja St Sebastian di Negombo menyusuli siri serangan bom yang dilancarkan di Sri Lanka. (Gambar: Jewel Samad/AFP)
SINGAPURA: Siri serangan pengganas yang dilancarkan ke atas beberapa gereja dan hotel mewah serta sebuah rumah di Sri Lanka pada Hari Easter adalah serangan paling dahsyat yang pernah berlaku di Asia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dengan angka korban mencecah 290 mangsa dan lebih 500 yang lain cedera, jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding bilangan kematian akibat serangan bom di Bali dan Mumbai.
Seramai 202 orang maut manakala 209 cedera akibat serangan bom di Kuta yang didalangi oleh Jemaah Islamiyah. Tiga tahun kemudian, pengeboman di Jimbaran dan Kuta meragut nyawa 20 orang dan mencederakan 100 yang lain.
Korban jiwa akibat serangan-serangan di Sri Lanka juga jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan serangan bom Mumbai dan kejadian tembak-menembak yang berlarutan selama empat hari. Serangan yang disasarkan ke atas stesen kereta api, hotel-hotel dan teksi-teksi oleh pertubuhan militan Lashkar-e-Taiba yang beroperasi dari luar Pakistan, meragut nyawa lebih 170 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.
Pada 2006 pula, satu siri serangan bom memusnahkan rangkaian kereta api Mumbai yang turut membunuh 209 orang dan menimpakan kecederaan ke atas lebih 700 orang.
Pemerintah Sri Lanka mengisytiharkan keadaan darurat selepas ia menuduh sebuah kumpulan pelampau setempat, yang dikenali sebagai Thowheeth Jama'ath Nasional, bertanggungjawab atas serangan-serangan berdarah itu dan ia juga sedang menyiasat sama ada kumpulan berkenaan mendapat 'sokongan antarabangsa'.
Pada Isnin (22 Apr), satu letupan menggegarkan kawasan berdekatan sebuah gereja di Colombo dan pihak polis juga cuba menghapuskan sebutir bom yang ditemui di kawasan tersebut. Dalam pada itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat mendedahkan bahawa 'kumpulan-kumpulan pengganas' masih sedang mengatur serangan.
Para pakar keselamatan menarik perhatian bahawa serangan-serangan yang dilancarkan di Sri Lanka lebih rumit dari segi corak serangannya yang memperlihatkan ciri-ciri yang serupa dengan kumpulan-kumpulan militan seperti ISIS atau Al Qaeda.
Sejauh ini, belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas pertumpahan darah di Sri Lanka.
Dengan konflik di Sri Lanka, para pakar juga tidak menolak kemungkinan yang serangan-serangan itu didalangi oleh para pelaku asing.
Serangan pengganas paling dahsyat di dunia berlaku pada 11 September 2001, di mana serangan yang didalangi oleh Al Qaeda mengorbankan hampir 3,000 orang dan mencederakan 6,000 yang lain.
Hartanah dan prasarana bernilai lebih AS$10 bilion (S$14 bilion) punah-ranah akibat serangan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.