Skip to main content

Dunia

Letupan Sri Lanka: Lebih 200 terkorban, ratusan cedera dalam serangan gereja, hotel

Jumlah kematian dalam siri serangan letupan yang menyasarkan hotel-hotel dan gereja-gereja di Sri Lanka pada Ahad (21 Apr) meningkat kepada 207, termasuk 35 warga asing, menurut polis.

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan Sri Lanka: Lebih 200 terkorban, ratusan cedera dalam serangan gereja, hotel

Letupan di Gereja St Sebastian's Church di Katuwapitiya, Negombo. (Gambar: @sebastianchurch150/Facebook)

Diterbitkan : 21 Apr 2019 01:32PM Dikemas Kini : 21 Apr 2019 10:57PM

COLOMBO: Jumlah kematian dalam siri serangan letupan yang menyasarkan hotel-hotel dan gereja-gereja di Sri Lanka pada Ahad (21 Apr) meningkat kepada 207 orang, termasuk 35 warga asing, menurut polis.

Jurucakap polis Ruwan Gunasekera berkata sekurang-kurangnya 450 orang yang cedera dikejarkan ke hospital.

Beliau menambah tiga orang sudah diberkas berhubung kes serangan itu yang terutamanya menyasarkan hotel-hotel mewah di ibu kota Sri Lanka serta gereja-gereja, tempat di mana orang ramai berkumpul untuk upacara Easter.

Encik Gunasekera berkata polis sedang menyiasat sama ada pengebom-pengebom nekad terlibat dalam kesemua serangan letupan berkenaan.

Dalam sebuah video di akaun Twitter-nya, Menteri Negara Pertahanan Sri Lanka Ruwan Wijewardene berkata Jabatan Siasatan Jenayah negara itu sedang bekerjasama dengan polis dan tentera untuk menyiasat serangan-serangan tersebut.

"Kami percaya semua pesalah yang terbabit dalam kejadian pengganasan itu akan ditahan tidak lama lagi," katanya sambil menambah bahawa para suspek sudah dikenal pasti.

Lapan letupan di hotel-hotel dan gereja-gereja dilaporkan pada Ahad. Seorang pegawai polis berkata sekurang-kurangnya 45 terbunuh di Colombo tempat tiga hotel dan sebuah gereja diletupkan.

Lagi 67 mangsa mati dalam serangan di sebuah gereja di Negombo, bahagian utara ibu kota Sri Lanka, sementara 25 yang lain terkorban di sebuah gereja di bandar Batticaloa - di timur negara itu.

Letupan-letupan pertama diaporkan tercetus di Gereja St Anthony's dan St Sebastian's di bandar Negombo yang terletak di pinggir ibu kota Sri Lanka. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita