Letupan ragut 2 nyawa dekat masjid di Kabul
Satu letupan di luar sebuah masjid di ibu kota Afghanistan, Kabul, meragut nyawa sekurang-kurangnya dua orang pada Ahad (3 Okt), menurut para pegawai kanan Taliban.

Anggota kakitangan awam Afghanistan berdiri di gerbang masuk hsopital sedang mereka menantikan untuk menerima mangsa letupan di Kabul pada 3 Okt 2021. (Gambar: AFP)
KABUL: Satu letupan di luar sebuah masjid di ibu kota Afghanistan, Kabul, meragut nyawa sekurang-kurangnya dua orang pada Ahad (3 Okt), menurut para pegawai kanan Taliban.
Letupan itu meletus berhampiran pintu masuk masjid besar Eid Gah di Kabul, menurut jurucakap Zabihullah Mujahid di Twitter, sambil menambah "beberapa orang awam" maut.
Jurucakap Kementerian Ehwal Dalam Negeri, Qari Sayed Khosti, memberitahu AFP: "Maklumat awal kami menunjukkan dua orang awam terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam serangan itu."
Ketika itu, majlis doa bagi arwah ibu Zabihullah, yang meninggal dunia minggu lalu, sedang diadakan di masjid itu pada petang hari kejadian. Beliau berkongsi perkara itu di media sosial sambil menjemput semua orang serta handai taulan untuk menghadirinya.
Ahmadullah, seorang penolong kedai yang terletak berhampiran, memberitahu AFP: "Saya terdengar bunyi satu letupan dekat Masjid Eid Gah diikuti dengan bunyi tembakan.
"Tidak jauh dari tempat letupan itu, Taliban mengepung jalan raya untuk mengadakan majlis doa Zabihullah Mujahid di Masjid Eid Gah," katanya.
Para wartawan AFP di dua lokasi di ibu kota itu juga terdengar bunyi letupan dan tembakan tersebut.
Ambulans membawa mangsa yang cedera turut kelihatan bergegas menuju ke Hospital Kecemasan Kabul di kawasan Shahr-e Naw.
Pihak hospital, menerusi catatan di Twitter, menyatakan empat mangsa sedang dirawat manakala wartawan AFP melihat beberapa individu berlumuran darah tiba di hospital berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.