Skip to main content

Dunia

Letupan masjid Alawi di Syria ragut lapan nyawa

Anggaran Waktu Membaca:
Letupan masjid Alawi di Syria ragut lapan nyawa
Kesan letupan di dalam Masjid Imam Ali ibn Abi Talib di kawasan kejiranan Wadi al-Dahab, Homs. Satu letupan maut melanda sebuah masjid di kawasan majoriti Alawite di Homs, Syria, pada 26 Disember. (Gambar: HANDOUT / SANA / AFP)
DAMSYIK: Lapan orang terbunuh dalam satu letupan di sebuah masjid milik golongan minoriti Alawi di bandar Homs di Syria, pada Jumaat (26 Dis), menurut agensi berita negara Syria, SANA.

Sebuah kumpulan Sunni Syria yang dikenali sebagai Saraya Ansar al-Sunnah mendakwa melalui saluran Telegramnya bahawa mereka bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Kumpulan itu sebelum ini turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan bom nekad di sebuah gereja di Damsyik pada Jun lalu yang mengorbankan 20 orang.

SANA memetik pegawai Kementerian Kesihatan Syria, Najib al-Naasan yang berkata bahawa lagi 18 orang cedera dan angka tersebut belum muktamad, menandakan jumlah korban mungkin meningkat.

Pejabat media Homs menyatakan sebuah bahan letupan meletup di dalam Masjid Imam Ali bin Abi Talib dan pasukan keselamatan mengepung kawasan tersebut.

Pegawai tempatan Issam Naameh memberitahu agensi berita Reuters bahawa letupan berlaku semasa solat Jumaat.

Majlis Tertinggi Islam Alawi, sebuah badan yang mendakwa mewakili masyarakat Alawi di Syria dan di luar negara, mengecam apa yang disifatkannya sebagai kempen sistematik pembunuhan, pemindahan paksa, penahanan dan hasutan terhadap masyarakat Alawi selama lebih setahun.

Badan itu menuduh pihak berkuasa Damsyik bertanggungjawab dan memberi amaran bahawa serangan berterusan berisiko mendorong negara itu ke arah kemusnahan.

Kementerian Luar Syria mengecam letupan tersebut sebagai “jenayah pengganas”.

Beberapa negara serantau termasuk Arab Saudi, Lubnan dan Qatar turut mengutuk serangan itu.

Media negara Syria, SANA, menyiarkan rakaman pasukan penyelamat dan keselamatan memeriksa serpihan yang bertaburan di atas permaidani hijau masjid berkenaan.

Syria digegarkan oleh beberapa insiden keganasan berunsur mazhab sejak pemimpin lama Bashar al-Assad, seorang golongan Alawi, digulingkan melalui serangan pemberontak tahun lalu dan digantikan dengan pemerintah yang dipimpin oleh golongan majoriti Sunni Islam.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita